KEPALA BATAS: Yayasan Amal Tuan Yang Terutama Pulau Pinang dengan kerjasama agensi awam dan syarikat swasta menanam 2,000 pokok bakau di Sungai Tembus, Kuala Muda, di sini.
Penanaman pokok bakau minyak itu mampu memberi manfaat kepada kira-kira 6,000 nelayan di negeri ini kerana mempunyai nilai ekonomi berganda, selain menjadi tempat pembiakan hidupan laut.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif yayasan itu, Datuk Seri Rozali Mohamud, berkata hutan bakau menjadi penampan kepada angin kencang, ribut dan tebatan kepada pantai dan sungai.
Katanya, pihaknya menanam pokok berkenaan kerana menyedari kebaikannya, lebih-lebih lagi kawasan itu persinggahan burung hijrah.
"Terdapat banyak sangat kepentingan pokok bakau ini untuk mewujudkan ekosistem karbon biru yang menyediakan habitat kepada pelbagai spesies laut dan pesisiran pantai.
"Di Teluk Air Tawar sampai ke Kuala Muda termasuk Sungai Tembus di Seberang Perai Utara, sepanjang lapan kilometer, satu-satunya kawasan Penting Burung dan Biodiversiti atau dinamakan 'IBA'.
"Kawasan ini diiktiraf sebagai 'flyway site' iaitu kawasan burung pantai dan air yang berhijrah dan berehat yang burung itu singgah di sini apabila musim sejuk di utara. Ini memerlukan kawasan persekitaran dipulihara, termasuk dalam penjagaan ekosistem melalui tanaman pokok bakau," katanya di sini, hari ini.
Program membabitkan 20 rakan strategik dan 200 sukarelawan itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Mengulas lanjut, Rozali berkata, kira-kira 20,000 burung laut berhijrah mulai September setiap tahun dan melalui kawasan itui.
Mulai bulan Februari hingga Mac, katanya, burung hijrah akan pulang semula ke tempat asal seperti Mongolia, Korea, Russia, China dan Jepun.
"Kawasan ini juga terdapat sekurang-kurangnya 3,000 burung air tempatan seperti bangau, pucung, sintar, pangling, tiong air, ayam-ayam, ruak-ruak, upeh dan komoran," katanya.