Roy Azman dah jadi artis sejak umur 18 tahun, namun dia tidak menggalakkan anak-anaknya untuk berkecimpung dalam bidang seni.
Pernah berdepan dengan pelbagai kesusahan hidup, Roy Azman atau nama sebenarnya, Zairosminan Azman Abdul Rahman tidak mahu anak-anaknya merasai apa yang pernah dilaluinya dulu.
Foto: IG
"Kalau boleh, saya tidak mahu anak-anak saya untuk menjadikan bidang seni sebagai sumber pendapatan utama. Melainkan bidang seni sebagai sampingan, itu adalah situasi yang berbeza.
"Namun, saya tidak mahu ada yang salah faham kerana saya sendiri masih mencari rezeki dalam bidang ini. Cuma saya tahu banyak pengorbanan yang perlu dilakukan.
"Bukan itu saja, bekerja dalam bidang ini juga tidak tentu masa. Apatah lagi jika ingin bercuti secara mengejut dan sebagainya kerana membabitkan banyak pihak. Contohnya jika berlakon, kita perlu memikirkan jadual kerja rakan gandingan juga jika hendak cuti mengejut.
"Saya pernah hidup susah seperti tidur dalam kereta, makan nasi hanya dengan kuah saja kerana tidak mampu membeli lauk, semua sudah saya rasa. Jadi saya tidak mahu anak-anak saya melalui apa yang pernah saya tempuhi itu," katanya kepada Harian Metro.
Roy cukup dikenali melalui penampilannya dalam drama bersiri Roda-Roda Kuala Lumpur.
Roy berkahwin dengan bekas ahli kumpulan Princess, Rafidah Mohd Razali pada 11 Mac 2006 dan dikurniakan lima anak.
Berkongsi mengenai pembabitannya dalam bidang komedi, Roy menjelaskan kerjayanya sebagai pelawak bermula selepas video ketawanya menjadi tular di media sosial.
"Saya sendiri tidak tahu ada bakat sebagai pelawak, namun semuanya bermula apabila video saya gelak bersama isteri Johan iaitu Ozzlyn menjadi tular. Selepas itu, saya mendapat tawaran bersama Ali Puteh untuk menyertai pertandingan lawak.
"Tidak sangka itu permulaan kerjaya saya sebagai pelakon komedi, saya sendiri tidak merancang tempoh untuk berada dalam bidang seni. Selagi diperlukan dan ada permintaan, selagi itu saya akan terus berada sebagai anak seni," katanya. -CARI
Sumber: Harian Metro
|