![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/kenagari_1697723085.jpg)
Tangkap layar kejadian curi kabel yang mana suspek menyamar sebagai kontraktor TM di Jalan Kampung Paya, Berapit, Bukit Mertajam. - Foto ihsan pembaca
BUKIT MERTAJAM: Polis sedang menjejaki baki tiga suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan curi kabel dengan menyamar sebagai kontraktor Telekom Malaysia (TM) dalam kejadian di Jalan Kampung Paya, Berapit, di sini, semalam.
Dalam kejadian 12.30 tengahari itu, seorang pekerja TM yang melalui kawasan terbabit melihat kegiatan empat lelaki berpakaiaan kontraktor agensi berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San, berkata pekerja itu kemudian menghampiri empat lelaki terbabit dan bertanyakan mengenai kerja yang dilakukan mereka.
Bagaimanapun, katanya keempat-empat lelaki itu bertindak melarikan diri sebelum pekerja TM terbabit berjaya menahan salah seorang daripada suspek berusia lingkungan 20-an.
"Hasil semakan ke atas suspek mendapati dia mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah.
"Dalam kejadian itu, pihak TM mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM5,000.
"Pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan suspek yang masih bebas dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di talian 04-5382222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 kanun Keseksaan kerana mencuri.
Kejadian curi kabel milik syarikat telekomunikasi itu turut tular di media sosial selepas dua video berdurasi 20 dan 13 saat dimuat baik oleh seorang pemilik akaun X hari ini.