|
Warsaw, Poland – Seorang lelaki ditahan selepas menyamar sebagai patung di sebuah pusat beli-belah di Poland sebelum mencuri barang kemas apabila ia ditutup.
Akhbar Metro UK melaporkan, lelaki berusia 22 tahun itu pada awalnya sanggup berdiri kaku di tepi tingkap kaca pusat beli-belah di Warsaw.
Dia dirakam memegang beg sambil menjulurkan lengan sebelum melakukan kegiatan jenayahnya selepas pusat beli-belah itu ditutup.
“Selepas mendapati keadaan selamat, suspek merompak kedai barang kemas,” kata polis.
Dalam kejadian berasingan, suspek yang sama dirakam menyelinap di bawah bidai sebuah kedai pakaian berjenama lalu menukar pakaian yang dicuri.
Dia kemudian diberkas polis ketika makan di sebuah restoran.
“Lelaki itu turut melakukan kegiatan mencuri dan pecah masuk kedai lain selepas ia ditutup. Dia mengambil wang daripada beberapa mesin wang dan mencuri barang lain,” kata polis.
Suspek kini direman dan didakwa atas kesalahan pecah masuk dan mencuri. – Agensi
Sumber: Kosmo! Online |
|