|
Hetty tunda konsert tahun depan
Anis (kiri) dan Hetty pada sidang media mengumumkan penundaan Konsert After Hours With Hetty Koes Endang di ibu negara, hari ini. Foto NSTP Saifullizan Tamadi
KUALA LUMPUR: Konsert After Hours With Hetty Koes Endang di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) yang sepatutnya berlangsung pada 11 November, ditunda kepada 24 Februari tahun depan berikutan isu permit Pusat Permohonan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).
Pengarah Eksekutif Visual Print Sdn Bhd, Anis Fathiah Abd Hamid berkata, keputusan menunda konsert itu dibuat berikutan Hetty terikat dengan program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) hingga Disember depan dan permohonan permit PUSPAL hanya boleh dikemukakan selepas program realiti terbitan Astro itu melabuhkan tirai.
"Permohonan permit PUSPAL bagi Hetty hanya diterima selepas tamat perjanjian kerjasama dengan Astro. Hetty tidak boleh ada dua permit dalam suatu masa.
"Jadi, selepas tamat perjanjian kerjasama dengan Astro, barulah permohonan PUSPAL untuk konsert Hetty boleh dibuat.
Hetty mempunyai lebih masa untuk membuat persiapan menjayakan Konsert After Hours With Hetty Koes Endang yang ditunda kepada 24 Februari tahun depan. Foto NSTP Saifullizan Tamadi
"Kami memohon maaf kepada semua peminat Hetty Koes Endang yang sabar menanti konsert ini. Kami berusaha dengan gigih memastikan konsert itu dianjurkan pada 24 Februari," katanya pada sidang media mengumumkan penundaan Konsert After Hours With Hetty Koes Endang di sini, hari ini.
Hetty terikat dengan komitmen menjadi juri ASGV bersama Datuk Ramli MS dan Datuk Syafinaz Selamat.
Anis optimis peminat Hetty yang sudah membeli tiket boleh memahami situasi dihadapi mereka sehingga konsert terbabit ditangguhkan.
"Peminat yang tidak boleh hadir pada tarikh baharu konsert itu, boleh memohon agar wang mereka dipulangkan. Sesiapa yang sudah membeli tiket boleh menggunakan tiket mereka untuk konsert pada tarikh baharu," katanya.
Sementara itu, Hetty, 66, tidak kesal dan menerima dengan terbuka penundaan konsertnya itu.
"Kebetulan, sekarang saya sibuk dan setiap minggu berulang alik untuk ASGV. Jadi, ini semua ada hikmahnya, kita tidak usah kesal. Apa yang penting kita utamakan kesihatan supaya semuanya lancar.
"Kita ikut saja apa yang dimahukan PUSPAL. Setakat ini, saya ikut apa saja peraturannya. Insya-Allah mungkin saya ada masa untuk buat persiapan yang lebih rapi untuk 'show' itu," katanya.
Mesra disapa Bunda, Hetty akan menyampaikan rangkaian lagu popularnya pada Konsert After Hours With Hetty Koes Endang termasuk kolaborasi bersama Zul 2 By 2 dan anaknya, Afifah Yusuf.
Sumber:https://www.bharian.com.my/hibur ... konsert-tahun-depan
|
|