|
Penyanyi, Nuha Bahrin belum bersedia menyertai mana-mana pertandingan berasaskan nyanyian kerana kurang keyakinan diri.
Pernah menyertai program realiti, Vokal Mania pada 2020 memberitahu dia merasakan banyak kekurangan perlu diperbaiki terlebih dahulu.
"Saya anggap program realiti adalah pentas yang saya belum layak sertai.
"Naufal hebat dan berbakat, tapi saya pula banyak kena belajar, selain belum bersedia.
"Daripada mengulangi kesilapan sama, lebih baik saya mempersiapkan diri. Bagi saya, pentas program realiti memerlukan penyanyi yang bagus dan bersedia, bukan sekadar popular.
"Saya perlukan masa. Ramai lagi rakan seperjuangan yang layak berada di pentas program realiti berbanding saya," katanya.
Tambah Nuha, dia perlu mempersiapkan diri dan menggilap bakat lebih banyak sebelum menerima pelawaan menyertai program realiti.
"Untuk dapat keyakinan sertai program realiti yang ditayangkan di kaca televisyen (TV), bukan mudah.
"Jujurnya, saya tak boleh buat sebab sedar dengan kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.
"Jadi, saya perlukan persediaan barulah boleh bersaing dan sama tahap dengan penyanyi lain," katanya.
Nuha berkata, dia masih trauma dengan apa yang dilalui ketika menyertai program realiti, Vokal Mania.
"Saya masih teringatkan trauma dan saya perlu atasi ketakutannya.
"Menyertai program realiti umpama ambil peperiksaan. Jadi, selagi saya tak belajar betul-betul, saya rasa tak patut ambil peperiksaan ini.
"Mungkin saya masih kurang keyakinan, jadi saya perlu bina keyakinan semula. Tetapi, nak bina keyakinan bukan mudah dan mengambil masa," katanya.
Sebelum ini, Nuha pernah tular hingga mendapat kecaman teruk ketika menyanyikan lagu Kekasih Awal Dan Akhir dendangan Datuk Jamal Abdillah dan Di Matamu (Sufian Suhaimi) dalam pusingan duet bersama Tomok.
Rata-rata menegur vokal Nuha yang juga salah seorang daripada 24 'rookie' (penyanyi amatur) yang disifatkan tidak kemas. Ada juga berpendapat nyanyiannya seperti menjerit.
Nuha dan Naufal mencipta fenomena menerusi lagu Casablanca yang muncul lagu tempatan pertama paling tular di carta di Indonesia.
Nuha menerima skrol ijazah sarjana muda dalam jurusan pemasaran di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) dengan memperoleh kelas pertama dalam pengajian, baru-baru ini.
Sumber: BH Online |
|