View: 2607|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
SPRM serbu lima kilang seleweng subsidi, simpan beras
[Copy link]
|
|
FOTO HIASAN.
Kuala Lumpur: Lima kilang di sekitar Kedah diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan penyelewengan pemberian subsidi kepada petani yang menjual beras tempatan ke kilang dilesenkan.
Menurut sumber, susulan siasatan itu, tiga kilang diserbu hari ini manakala dua semalam di sekitar Kedah bagi mengesan aktiviti penyelewengan pemberian subsidi beras tempatan itu.
Kata sumber, modus operandi yang digunakan sindiket ialah disyaki menipu resit pembelian padi di kilang terbabit.
"Ini membabitkan tiga pihak iaitu petani, pengilang dan wakil Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang bertanggungjawab dalam memastikan jumlah padi yang dibeli daripada petani seimbang dengan jumlah subsidi yang dibayar.
"Penyelewengan dalam tuntutan subsidi ini disyaki berlaku apabila jumlah berat padi yang dijual di kilang adalah tidak sama dengan nilai subsidi yang dibayar kepada petani," katanya.
Sumber berkata, resit-resit pembelian padi dan jumlah berat padi disyaki sengaja dipalsukan dengan melipatgandakan jumlah berat padi yang dijual.
Difahamkan subsidi yang dibayar oleh kerajaan melalui Bernas ialah sebanyak RM500 bagi setiap tan padi yang dijual di kilang manakala pihak kilang membeli daripada petani dengan harga RM1.25 sekilogram.
"Ini bermaksud sekiranya seorang petani menjual satu tan beras kepada pengilang, mereka akan menerima RM1,250 dan RM500 daripada jumlah itu adalah subsidi daripada kerajaan.
"Jumlah subsidi yang diperuntukkan kerajaan ialah sebanyak RM600 juta setahun namun masih terlalu awal untuk merumuskan jumlah sebenar ketirisan subsidi yang berlaku," katanya.
Selain itu, sumber turut mendedahkan bahawa terdapat penyelewengan yang dilakukan oleh pengilang yang mencampurkan beras tempatan dengan beras import dan dijual dengan harga beras import.
Ini jauh lebih menguntungkan berbanding harga beras tempatan yang dikawal kerajaan.
"Salah satu faktor yang menjadi punca kekurangan beras tempatan ialah sikap pengilang yang menyimpan dan menyorokkan beras-beras tempatan kononnya menunggu pelarasan harga oleh kerajaan.
"Mereka memberi alasan beras itu disimpan ialah disebabkan tiada ejen yang mahu membeli beras," katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tindakan yang diambil SPRM berhubung perkara ini.
Menurut beliau, masih terlalu awal untuk merumuskan perkara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
"SPRM akan melihat dua aspek termasuk kesalahan jenayah dan aspek tatakelola dalam pengagihan subsidi," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... ubsidi-simpan-beras |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|