|
MARTINEZ (kanan) menggesa rakan sepasukannya memberikan aksi terbaik pada dua aksi kelayakan Piala Dunia kali ini untuk mereka meraih kemenangan. - AFP
BUENOS AIRES – Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez percaya mereka akan berdepan aksi sukar menjelang saingan kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan menentang Paraguay di Stadium Monumental pagi esok.
Walaupun beraksi di laman sendiri ditemani puluhan ribu penyokong, namun pemain Aston Villa itu menggesa rakan sepasukan supaya tidak memandang rendah keupayaan dimiliki Paraguay pada perlawanan tersebut.
Justeru, Martinez berkata, dia dan rakan sepasukan sedia untuk memberikan segala-galanya bagi memastikan La Albiceleste menang dalam kedua-dua aksi kelayakan menentang Paraguay dan Peru nanti.
“Saya sayangkan mereka (penyokong) dan sedia untuk berikan segala-galanya. Saya adalah salah seorang pemain yang sentiasa menampilkan aksi terbaik bagi memastikan pasukan negara kami menang dalam setiap perlawanan.
“Fokus kami adalah untuk menang kedua-dua perlawanan dalam tempoh aksi antarabangsa ini. Memang aksi yang sukar, sama seperti ketika kami bertemu Ecuador dan Bolivia, jadi kami tidak boleh bermain sambil lewa,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut menjelaskan, dua perlawanan minggu ini sangat penting buat mereka memandangkan Argentina akan membuat perhitungan dengan Uruguay dan Brazil dalam dua lagi aksi kelayakan bulan depan.
“Semua perlawanan sangat sukar dalam saingan kelayakan, sebab itu penting untuk kami tidak sia-siakan peluang mendapatkan tiga mata. Saya percaya kami boleh lakukannya dan bawa semangat ini untuk turut memenangi Copa America nanti,” ujar Martinez. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/10 ... empunan-kemenangan/ |
|