|
Penyerang Brentford, Ivan Toney (tengah) akan menamatkan penggantungan lapan bulannya pada 16 Januari tahun depan. - Foto AFP
LONDON: Ian Wright mendakwa Arsenal hanya akan merampas gelaran Liga Perdana Inggeris daripada Manchester City musim ini dengan menandatangani Ivan Toney pada Januari.
The Gunners kini berada di tangga kedua liga, dua mata di depan City selepas mereka menewaskan anak buah Pep Guardiola hasil jaringan Gabriel Martinelli di Stadium Emirates.
Ia adalah kemenangan pertama Arsenal dalam saingan liga ke atas juara treble itu sejak tahun 2015.
Arsenal belum tewas dalam aksi liga musim ini, tetapi tercicir mata ketika menentang Fulham dan Tottenham selepas gagal memanfaatkan peluang jaringan.
Bekas pemain Arsenal, Wright menegaskan, Eddie Nketiah dan Gabriel Jesus mempunyai kualiti di bahagian serangan The Gunners, tetapi mereka perlu mendapatkan seorang penyerang yang benar-benar tajam.
"Toney adalah pelengkap kepada jentera serangan Arsenal. Bukan untuk menafikan kemampuan Eddie dan Jesus, tetapi banyak peluang disia-siakan setakat ini," kata Wright.
Martinelli dan Martin Odegaard adalah penjaring terbanyak Arsenal musim lalu dengan masing-masing menjaringkan 15 gol, tetapi Jesus dan Nketiah bergabung mengumpul jumlah jaringan yang sama.
Toney meledak 20 gol untuk Brentford musim lalu tetapi kini dalam penggantungan lapan bulan selepas mengakui terbabit dalam pertaruhan. Penyerang England itu akan kembali beraksi selepas 16 Januari.
The Gunners akan kembali beraksi selepas rehat perlawanan antarabangsa dengan bertandang ke laman Chelsea pada 21 Oktober, diikuti kunjungan Sheffield United pada minggu berikutnya. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... -menang-liga-wright |
|