|
Istanbul: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan hari ini, menegaskan Israel tidak berkelakuan 'seperti sebuah negara' di Semenanjung Gaza apabila menggempur wilayah itu selepas serangan Hamas.
Beliau antara lain mengutuk serangan Israel di Semenanjung Gaza, selain menyifatkannya sebagai 'kaedah memalukan'.
Foto yang diambil pada 11 Oktober 2023 ini menunjukkan pemandangan udara bangunan yang musnah akibat serangan udara Israel di kem Jabalia untuk pelarian Palestin di Bandar Gaza. - Foto AFP
"Israel perlu ingat, sekiranya mereka bertindak sebagai organisasi, bukannya negara... mereka akhirnya akan terus diberi layanan sedemikian.
"Mengebom lokasi awam, membunuh orang awam, menyekat bantuan kemanusiaan dan mempamerkannya sebagai pencapaian adalah tindakan sebuah organisasi, bukannya sebuah negara.
"Kita berpendapat peperangan perlu memiliki etika dan kedua-dua pihak harus menghormatinya. Malangnya, prinsip ini dicabuli dengan teruk di Israel dan di Gaza," katanya sambil mengecam 'pembunuhan beramai-ramai orang tidak bersalah di Gaza susulan pengeboman berterusan serta orang awam di Israel'.
Kebiasaannya, Erdogan akan menggunakan perkataan 'organisasi' bagi merujuk Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Turkiye dan sekutu Baratnya. - AFP
Sumber: BH Online |
|