|
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi berkata, banyak boleh dipelajari menerusi bagaimana kerajaan Korea Selatan menyokong dan mempromosikan industri kreatif, seni dan budaya di mata dunia.
Tidak hanya mengetengahkan muzik K-Pop dan drama, tetapi juga makanan, jenama dan budaya di mata dunia.
Malaysia perlu menjadikan Korea Selatan sebagai inspirasi yang membangunkan ekonomi jingga secara menyeluruh.
"Kita boleh jadikan Korea Selatan sebagai contoh, di mana mereka mengeluarkan bajet besar untuk industri kreatif. Ia secara tak langsung merangsang ekonomi negara ke tahap lebih baik.
"Jadi, jika tidak guna pakai industri kreatif sebagai satu medium utama untuk merangsang ekonomi, kita akan rugi dan tidak seiring dengan negara luar.
"Bila lagu popular, secara tak langsung ia mempromosikan negara terutamanya dari segi budaya, makanan, bahasa dan pelbagai lagi ke seluruh dunia.
"Sekarang kita pula kena belajar asing memandangkan karya mereka semakin dikenali dan mendapat tempat.
"Semua ini sudah membantu merangsang ekonomi negara. Saya percaya penggiat sektor kreatif ini perlu dijaga kerana medium mempromosi dan membantu ekonomi negara," katanya kepada BH Online.
Tambah Zed Zaidi, perkara yang lebih penting adalah memperbanyakkan peluang pekerjaan lebih stabil dan konsisten dengan menambahkan peruntukan supaya lebih banyak projek dan kandungan dapat dijayakan.
"Bila ada kerja, orang tidak bising. Ini paling utama kalau nak cerita pasal industri kreatif.
"Kita kena lebih fokus, memperbanyakkan peluang pekerjaan dan projek. Sebelum ini, kita lihat ada 3,000 syarikat produksi yang pergi 'pitching' di RTM, tetapi yang dapat hanya 50 naskhah.
"Kenapa tidak dari 3,000 yang pergi, 1,000 yang dapat? Bila banyak yang dapat, secara tak langsung, ia memberikan projek dan penerbit dapat bayar cukai serta membantu kerajaan.
"Secara tak langsung, dapat beri peluang pekerjaan kepada pengarah, pelakon. kru produksi dan lain-lain.
"Ekosistem industri seni itu perlu sentiasa berjalan, itu yang kita mahukan. Sekarang ada banyak sangkut sebab peruntukan tidak banyak.
"Bila tak banyak, penggiat seni bising kerja tiada. Bila tiada kerja, ditambah dengan kos sara hidup tinggi, macam mana nak terus kelangsungan hidup?
"Bagaimana nak wujudkan banyak peluang pekerjaan? Dana perlu ditambah dan pengurusan pelaksanaan dana juga sama penting supaya dapat dirasai penggiat industri kreatif," katanya.
Terdahulu, menerusi Belanjawan 2023, kerajaan memperuntukkan RM127 juta bagi menyemarakkan industri kreatif, seni dan budaya.
Daripada jumlah itu, kerajaan memperuntukkan Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM102 juta bagi mendukung usaha penggiat seni kreatif mengangkat sektor seni dan budaya tempatan.
Selain itu, kerajaan juga menyediakan RM50 juta sebagai Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (DEKAN) bagi memacu industri kreatif tempatan.
Sumber: BH Online |
|