|
Kuantan: Dalam tempoh seminggu, dua anak buaya berukuran panjang kira-kira 30 sentimeter (sm) ditemui penduduk lorong 16/1 Taman Seri Inderapura, di sini.
Terbaru malam kelmarin apabila reptilia itu ditemui dalam kawasan rumah penduduk.
Penduduk, Dr Asmadi Abdul Rahman, 47, berkata, Jumaat lalu dia terjumpa bangkai anak buaya di hadapan rumahnya dipercayai diserang kucing penduduk.
Katanya, saiz anak buaya yang ditemui sebelum ini hampir sama dengan malam kelmarin dan tidak mustahil ia kumpulan yang sama.
"Saya tidak pasti bagaimana dua anak buaya dipercayai spesies buaya tembaga boleh muncul di lorong kawasan rumah kami, bukan seekor tetapi dua ekor dalam masa seminggu.
"Mungkin juga anak buaya itu tersesat keluar dari Sungai Belat yang menjadi habitat semula jadi sebelum masuk ke longkang besar kemudian ke parit simen di kawasan perumahan ketika air pasang besar," katanya, di sini, semalam.
Beliau yang bertugas dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) berkata, ini kali pertama dia berpeluang memegang anak buaya.
Asmadi berkata, Sungai Belat yang terletak berhampiran dengan kawasan perumahan Taman Seri Inderapura sememangnya terkenal dengan buaya tembaga dan kes buaya tersesat masuk ke longkang besar sering berlaku sebelum ini.
Katanya, sebelum ini setiap kali air pasang besar penduduk berpeluang melihat buaya pelbagai saiz tersesat masuk ke dalam longkang besar, namun sehingga kini tidak pernah berlaku kejadian tidak diingini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya akan menyiasat aduan penemuan dua anak buaya oleh penduduk lorong 16/1 Taman Seri Inderapura.
"Kakitangan Perhilitan mengambil anak buaya itu dan tindakan seterusnya akan dilakukan.
"Taman perumahan itu terletak tidak jauh daripada Sungai Belat, sebelum ini terdapat kes buaya tersesat ketika air pasang dan masuk ke dalam longkang besar kemudian ditangkap Perhilitan," katanya.
Sumber: Harian Met |
|