LIm Hui Ying menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Syarahan dan Bercerita Bahasa Melayu SJKC dan SJKT Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Kuala Perlis, Kangar. - Foto NSTP/Aizat Sharif
KANGAR: Kementerian Pendidikan akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi memastikan sekolah di seluruh negara mendapat liputan internet terbaik selaras agenda pendigitalan pendidikan yang ditumpukan dalam Belanjawan 2024.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata pihaknya berhasrat memastikan tiada satu sekolah ketinggalan daripada mendapat liputan internet dan ia menyokong Dasar Pendidikan Digital (DPD) dalam melahirkan murid berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0.
"Kita akan bekerjasama rapat dengan KKD yang mana KKD sudah membuat banyak langkah dalam meluaskan liputan jaringan akses pendidikan digital di sekolah.
"Kita amat berharap langkah ini dapat dilaksanakan dalam jangka panjang menerusi pelan pendigitalan pendidikan yang sudah dirangka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Syarahan dan Bercerita Bahasa Melayu SJKC dan SJKT Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di sebuah hotel di Kuala Perlis, di sini hari ini.