|

Aminuddin pada sidang media selepas mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri hari ini. NSTP/ Mohd Amin Jalil
SEREMBAN: Negeri Sembilan memiliki sumber unsur nadir bumi bukan radioatif (NR-REE) dianggarkan bernilai RM30 bilion, namun perincian lokasinya belum dikenal pasti sepenuhnya, kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata, jumlah anggaran NR-REE itu berdasarkan kajian awal Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang dijalankan di negeri ini, namun lokasi sumber nadir bumi berkenaan belum dimuktamadkan.
"Ini antara hasil yang besar dan kita akan mulakan (aktiviti perlombongan) unsur nadir bumi ini seawal tahun depan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ada.
"Bagi kita tidak perlu ada eksplorasi lagi selepas JMG kenal pasti lokasi di daerah yang ada sumber mineral itu di Negeri Sembilan ini, saya yakin kita boleh terus laksanakan (aktiviti perlombongan)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Aminuddin mengulas kenyataan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa kerajaan negeri kini dibenarkan membuat penerokaan awal REE, berdasarkan SOP sedia ada untuk perlombongan nadir bumi dan mineral.
Nik Nazmi dilaporkan berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) yang berlangsung semalam.
Malaysia dilaporkan memiliki sumber NR-REE dianggarkan berjumlah 15.2 juta tan dengan nilai pasaran semasa boleh mencecah sehingga RM747.2 bilion (AS$182 bilion).
Anggaran nilai sumber NR-REE yang tinggi dimiliki ini membolehkan negara berpotensi membuat pelaburan dalam industri berkenaan, sekali gus memberi pulangan berlipat ganda kepada ekonomi negara.
Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata, beliau akan membawa perkara itu pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri akan datang bagi membincangkan lebih terperinci pelaksanaan perlombongan REE di Negeri Sembilan.
Beliau berkata, perlombongan dibenarkan hanya membabitkan kawasan tanah kerajaan negeri, tanah individu atau tanah syarikat, manakala Hutan Simpan Kekal (HSK) adalah dilarang.
"Namun, setakat ini belum ada kelulusan lagi dan kerajaan negeri sedang lihat beberapa perkara berkaitan, selain soal keperluan mewujudkan pusat sehenti, bagi memastikan proses pelaksanaan aktiviti perlombongan REE ini dapat dikawal.
"Kita tidak mahu perlombongan tidak terkawal hingga berlaku pencerobohan haram," katanya.
Aminuddin berkata, SOP Kerajaan Persekutuan perlu dipatuhi, manakala kerajaan negeri juga akan mengeluarkan SOP tambahan sebagai langkah keselamatan, selain melancarkan lagi proses perlombongan REE berkenaan.
"SOP tambahan ini akan memperincikan lagi peraturan termasuk soal bayaran royalti, lesen dan sebagainya sebelum kita mulakan aktiviti perlombongan ini seawal tahun depan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... embilan-rm30-bilion |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|