|
Datuk DJ Dave mengesahkan penyanyi era 1980-an, Zaiton Sameon, 67, menjadi penggiat seni kesembilan yang menerima pencen daripada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), mulai November ini.
DJ Dave berkata Zaiton memang layak dibantu dengan bantuan pencen bulanan itu kerana berhadapan masalah kesempitan hidup selepas jarang menerima tawaran menyanyi.
Foto: IG
"Kita di YKAT mengambil maklum mengenai nasib Zaiton yang difahamkan amat memerlukan bantuan kewangan bulanan untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup dihadapinya.
"Ditambah, dia juga adalah pemegang Kad Orang Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) yang layak menerima pencen bulanan sebanyak RM500 daripada YKAT mulai November ini.
"Sebelum ini, YKAT juga sudah beberapa kali membantu Zaiton, seperti memberikan bantuan kewangan ketika dia jatuh sakit dulu dan sekarang apabila mendengar ceritanya yang perlu bantuan kewangan, kami hulur pencen bulanan pula," katanya kepada Harian Metro.
DJ Dave berkata, setakat ini YKAT juga sebenarnya sudah membantu ramai artis yang berhadapan masalah kewangan dan kesempitan hidup dengan memberikan pencen bulanan berkenaan.
Sebelum ini, difahamkan YKAT memanfaatkan dana diperoleh mereka daripada kerajaan dengan memberikan pencen secara bulanan kepada beberapa artis tempatan, antaranya seperti Allahyarham Sharifah Aminah Syed Abdullah dan juga Allahyarham Yazit.
DJ Dave berkata, pencen diterima itu akan dibayar selagi yayasan memiliki dana untuk disumbangkan kepada penggiat seni yang dikenal pasti layak mendapatkan bantuan kewangan terbabit.
"YKAT seboleh-bolehnya mahu membantu lebih ramai lagi artis yang memerlukan bantuan kewangan bulanan kerana sedar ramai di antara mereka yang tidak boleh menjana pendapatan berikutan faktor usia.
Ditanya juga sama ada YKAT mempunyai perancangan untuk memberikan pencen kepada penyanyi Ibnor Riza yang kini menghidap kanser limfoma tahap empat, DJ Dave berkata, tiada masalah sekiranya pihak yayasan mempunyai dana kewangan yang lebih untuk menghulurkan bantuan.
"Setakat ini, kami sudah bantu Ibnor Riza beberapa kali dan insya Allah kita tengok keadaan macam mana. Tapi, kalau kita ada dana lebih, YKAT mesti bantu. Cuma, buat masa sekarang biarlah Zaiton dulu yang kami bantu," katanya.
Terdahulu, DJ Dave ditemui hadir pada sidang media pelancaran Forum Kesihatan Makro Usahawan Malaysia-China bersama Malam Gala Amal Selebriti Asia 2023 (MCEH 2023), di sebuah hotel di ibu kota, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, YKAT mula beroperasi sejak 25 Jun 2012 dan sehingga kini sudah membantu ramai artis veteran termasuk di Sabah dan Sarawak yang mencecah usia 60 tahun, sakit, kemalangan, dimasukkan ke hospital, lumpuh dan sebagainya. -CARI
Sumber: Harian Metro |
|