View: 3056|Reply: 0
|
Solari tabik pemain selepas takluk Liga Super sedekad
[Copy link]
|
|
Solari dan pemain JDT meraikan kejayaan menjuarai Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut. - Foto Nur Aisyah Mazalan
JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari menyifatkan keharmonian dalam bilik persalinan adalah antara faktor anak buahnya bermotivasi memberikan aksi terbaik secara konsisten sehingga berjaya melakar sejarah merangkul gelaran juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut musim ini.
Pengendali kelahiran Argentina itu yang jelas puas apabila memenangi gelaran juara Liga Super buat pertama kali sejak mengambil alih tugas ketua jurulatih sejak Disember lalu mengakui keharmonian itu juga menjadi titik tolak buat keseluruhan skuad Harimau Selatan lebih bersemangat untuk meningkatkan kualiti permainan masing-masing.
"Ini adalah hari paling bermakna buat JDT apabila muncul juara buat kali ke-10 berturut-turut. Kami bukan sahaja menakluki liga malah memberi persembahan terbaik dari hari pertama, menang 21 perlawanan dan tidak pernah kalah, jaring 86 gol dan hanya bolos tujuh kali, ini amat memberangsangkan.
"Semua ini adalah hasil usaha keras setiap pemain yang cukup profesional, mereka menunjukkan kesungguhan untuk belajar menjadi lebih baik selain mempamerkan komitmen yang tinggi setiap kali turun berlatih yang akhirnya diterjemahkan pada perlawanan sebenar.
"Kesemua pemain sentiasa memberikan 100 peratus untuk membuktikan mereka layak berada dalam pasukan, ini dapat dilihat dalam setiap perlawanan apabila mereka bermain bersungguh-sungguh membuktikan mereka adalah yang terbaik," katanya.
Pemain JDT, Juan Muniz diasak pemain PDRM FC pada Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
JDT berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super yang dimenangi sejak 2014 selepas membenam PDRM FC 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Bergson Da Silva memulakan detik kegemilangan Harimau Selatan menerusi gol pada minit ke-37 manakala Juan Muniz menjaringkan gol pada minit ke-40 selain gol Arif Aiman Hanapi pada minit ke-54 dan pemain gantian Fernando Forestieri pada minit ke-57.
Pemain JDT, Juan Muniz diasak pemain PDRM FC pada Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Misi Solari bersama JDT sangat jelas untuk membantu pasukan menjadi versi yang lebih digeruni lawan dan ini terbukti apabila nisbah jaringan bagi setiap perlawanan liga musim ini adalah hampir empat gol bagi setiap perlawanan.
Menurut Solari, berbekalkan ilmu yang ditimba bersama Liga Argentina serta pasukan bawah 23 tahun negara itu, dia cuba untuk menjadikan setiap pemain lebih baik dari setiap aspek.
"Mungkin ada yang tak sukakan dengan cara saya, itu adalah normal dalam bola sepak, tambahan pula JDT mempunyai skuad yang besar dan sukar untuk mendapat tempat beraksi. Cabaran yang sukar adalah untuk memotivasikan pemain yang jarang diturunkan supaya mereka berada di tahap terbaik dan itu tidak menjamin peluang untuk diturunkan.
"Ini bukanlah tugas yang sukar namun mereka tetap menunjukkan kesungguhan dan ini yang menggerakkan pasukan untuk terus bekerja keras, karakter seperti Aidil Zafuan (Abd Radzak), Farizal (Marlias) dan Safiq (Rahim) memain peranan lebih besar menjaga keharmonian dalam bilik persalinan," ujarnya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... -liga-super-sedekad |
|
|
|
|
|
|
| |
|