|
Penyerang Bayern Munich, Harry Kane menerima ucapan tahniah daripada rakan sepasukannya selepas melengkapkan hatrik pada aksi menentang Bochum di Arena Allianz, Munich lewat malam tadi. Bagaimanapun hatriknya tidak dikira secara rasmi dalam Bundesliga. – Foto REUTERS
MUNICH: Harry Kane meledak hatrik pertamanya dalam Bundesliga bersama Bayern Munich tetapi ia tidak akan dikira secara rasmi susulan peraturan Jerman yang berbeza.
Kapten England itu membantu Bayern dengan tiga gol ketika membelasah VfL Bochum 7-0 di laman sendiri lewat malam tadi.
Kane menyumbat gol pertamanya pada minit ke-12 sebelum menambah dua gol lagi pada babak kedua.
Ada dua penjaring gol antara gol pertama dan gol keduanya manakala seorang penjaring lain antara gol kedua dan ketiganya.
Oleh kerana itu, hatriknya tidak diperakui di Jerman.
Harry Kane bersama bola perlawanan yang ditandatangani selepas meledak tiga gol menentang Bochum lewat malam tadi. – Foto Twitter Harry Kane
Ini kerana semua tiga gol perlu dijaringkan dalam babak yang sama dan secara berturut-turut dengan tiada siapa menjaringkan gol di antaranya.
Di sebalik peraturan itu, Kane tetap teruja dan bergambar dengan bola perlawanan yang sudah ditandatangani.
Dia menciap: "Bola baharu untuk koleksi! Satu persembahan sepasukan menakjubkan."
Kane, 30, meninggalkan Tottenham Hotspur untuk berpindah ke Bayern dengan harga 100 juta euro (RM499.8 juta) pada musim panas ini.
Dia pantas menyesuaikan diri dengan baik bersama kelab gergasi Bundesliga itu dan menamakan Jamal Musiala dan Thomas Mueller sebagai dua pemain bintang yang dikaguminya. – AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... f-kane-bukan-hatrik |
|
|
|
|
|
|
| |
|