"Ya saya sudah ada (teman istimewa). Dia bukan orang industri dan bukan suami orang…Saya bukannya 'penyondol'.
"Cukup setakat itu sahaja. Kalau nak tahu lebih lanjut, kita sembang di kedai kopi," ujar Linda sambil ketawa.
Bekas naib juara Akademi Fantasia musim kedua ini ditemui pada majlis pelancaran Muzikal Lantai T Pinkie di di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, semalam.
Sebelum ini, Linda atau nama sebenar, Norlinda Nanuwil, 39, pernah digosip sudah berkahwin dengan seorang VIP, namun, tampil menafikannya.
Dakwaan itu timbul selepas artis kelahiran Ranau, Sabah ini tiba-tiba hilang dari radar industri hiburan.
Menerusi pementasan berdasarkan karya agung milik Saterawan Negara (SN), Datuk Seri A Samad Said ini, Lantai T Pinkie menyaksikan Linda memegang watak sebagai Siti Udaya.
Berkongsi perasaan menbawakan watak penyanyi kabaret dalam muzikal arahan Dr Rosminah Mohd Tahir itu, Linda mengaku karakter itu memberi cabaran tersendiri buatnya.
"Sebelum saya terima tawaran ini, sudah tentu saya kena tahu apakah wataknya. Kalau kena menari sepanjang masa, memang tak bolehlah kerana saya memang 'kayu'.
"Nasib baik watak yang ditawarkan adalah sebagai penyanyi. Cuma adalah kena menari walaupun tidak banyak. Selain kena menari dan berlakon, saya kena bermonolog. Jadi, itulah cabarannya.
"Jujurnya saya agak gusar juga nak berlakon teater. Kalau menyanyi, jika tak ingat lirik, kita boleh hulur mikrofon pada penonton untuk menyanyi bersama.
'Tapi kalau di pentas teater saya lupa dialog, memang habislah," katanya.
Muzikal Lantai T. Pinkie bakal menemui penonton selama tiga hari mulai 6 Oktober ini di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.
Selain Linda, naskhah terbitan CTRA Production ini menampilkan bakat baharu iaitu Zera Hariz, Faysal Saad sebagai teraju utama.
Pelakon lain adalah Nabila Huda, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Carolyne Kamba, Zaifri Husin, Serra Kamal dan Ewan Fauzi.
Sumber: BH Online