|
Nama kumpulan Exists masih kukuh walaupun dah lebih 32 tahun berada dalam industri seni.
Malah lagu-lagu popular mereka seperti Alasanmu, Mengintai Dari Tirai Kamar serta Untukmu Ibu terus menjadi siulan peminat sehingga hari ini.
Mereka mengakui tidak melalui jalan mudah sehingga pernah mengikat perut disebabkan kesempitan wang.
Foto: mStar
"Kita pernah pergi show naik lori sebab tidak ada duit. Makan mi segera setahun pun pernah rasa," kata Ajai selaku pemain keyboard.
Selain Ajai, kumpulan ini turut dianggotai oleh Along (gitar), Musa (bes), Ujang (dram) serta Ezad dan Mamat selaku vokalis.
Terus membuktikan kemampuan mereka sebagai sebuah band, Exists bakal sekali lagi bakal tampil dalam sebuah konsert Exists X Orkestra yang dijadualkan pada 22 Disember ini.
Istimewanya kali ini mereka akan memberikan kelainan dengan gabungan muzik orkestra yang pastinya dapat menghidupkan lagi persembahan di atas pentas.
"Kami tidak pernah melakukan persembahan seperti ini. Jadi kami amat teruja untuk membuat sebuah konsert bersama muzik orkestra.
"Muzik pada malam konsert nanti akan jadi lebih 'mewah' dan lagu-lagu juga boleh dikemaskan lagi bersama orkestra. Apa yang pasti semua lagu boleh dinyanyikan bersama peminat," ujar Ezad.
Sementara itu, Along pula menyifatkan konsert yang bakal berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur ini sebagai sebuah impian yang sudah lama mereka idamkan.
"Tanyalah kepada mana-mana band, kugiran atau pemuzik, salah satu impian mereka pasti mahu melakukan persembahan konsert atau bergabung dengan orkestra.
"Selama ini kami hanya menunggu waktu yang sesuai untuk menjayakan sebuah persembahan kolaborasi seperti ini. Akhirnya, impian itu tercapai jua. Exists sendiri tidak sabar untuk mencipta sejarah ini," jelasnya.
Hasil jualan tiket ini juga akan digunakan untuk membantu golongan artis yang memerlukan.
Tiket-tiket berharga bermula RM568, RM468, RM368, RM268 dan RM168 dan boleh dibeli menerusi www.myticket.asia. -CARI
Sumber: mStar |
|