View: 9442|Reply: 0
|
Sancho tidak penting - Ten Hag
[Copy link]
|
|
Pengurus Manchester United, Erik ten Hag bercakap dengan Jadon Sancho (kanan) ketika menentang Newcastle United di Old Trafford, Manchester pada 16 Oktober 2022. – Foto REUTERS
LONDON: Erik ten Hag berkata, beliau tidak tahu sama ada penyerang yang diketepikan Jadon Sancho akan beraksi buat Manchester United sekali lagi.
Sancho dilarang daripada berlatih dengan pasukan utama United apabila pemain antarabangsa England itu mencetus kemarahan Ten Hag sesudah mendakwa dia dijadikan "kambing hitam" selepas digugurkan ketika tewas di Arsenal awal bulan ini.
Ten Hag membayangkan ia bukannya satu-satu insiden membabitkan Sancho yang menjadi pertimbangan apabila memutuskan hukuman itu.
Pemain berusia 23 tahun itu menghabiskan sebahagian daripada musim lalu berlatih secara sendirian di Belanda selepas Ten Hag berkata, dia tidak berada dalam keadaan fizikal dan mental yang tepat untuk bermain buat United.
Bercakap menjelang aksi Liga Perdana Inggeris menentang Brighton malam ini, bos United itu berkata, beliau tidak tahu berapa lama prosedur disiplin Sancho akan berakhir atau sama ada dia akan mewakili United sekali lagi.
Ditanya sama ada bekas bintang Borussia Dortmund itu akan menyarung jersi United semula, Ten Hag berkata: "Saya tidak tahu. Saya duduk di sini. Esok kami ada satu perlawanan besar, kami akan berdepan banyak perlawanan dalam program yang padat. Saya fokus terhadapnya."
Sancho dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi sebelum jendela perpindahan berakhir namun kini kekal sebagai pemain United sekurang-kurangnya hingga jendela perpindahan dibuka pada Januari depan.
Ia kejatuhan mengejutkan buat Sancho, yang dipuji sebagai salah seorang bintang bola sepak Inggeris semakin meningkat apabila dia menyertai United dari Dortmund pada tahun 2021.
Ten Hag jelas kurang senang kerana terpaksa menjawab banyak soalan mengenai Sancho menjelang satu daripada perlawanan penting buat pasukannya, yang bermula agak terumbang-ambing musim ini.
"Dia tidak boleh beraksi, jadi ketika ini, dia tidak penting kerana dia tidak boleh menyumbang," kata Ten Hag. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... dak-penting-ten-hag |
|
|
|
|
|
|
| |
|