|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo_2023-09-13_14-29-48_1694590597.jpg)
Polis menahan penggangur selepas memukul pekerja restoran di Pandan Utama, Ampang Jaya dengan rantai besi kerana marah diminta membayar hutang makanan. IHSAN PDRM
Ampang Jaya: Berang diminta membuat pembayaran makanan menyebabkan seorang lelaki memukul pekerja sebuah restoran di Pandan Utama, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian jam 6 petang itu, pekerja warga asing berusia 34 tahun dipanggil suspek yang melepak di bengkel motosikal bersebelahan dengan restoran.
Menurutnya, mangsa pergi ke bengkel itu dan berjumpa dengan suspek sebelum secara tiba-tiba dia membaling rantai besi sekali dengan mangga (pad lock) dan cuba memukul kepala mangsa menggunakan rantai besi.
"Suspek juga menarik mangsa dan mengacu pisau, namun ditahan oleh pekerja restoran.
"Mangsa mengalami kecederaan sakit dan bengkak di jari telunjuk sebelah kiri dan jari kelingking sebelah kanan sebelum mendapat rawatan di Hospital Ampang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azam berkata, punca kejadian adalah disebabkan mangsa bertanya kepada suspek mengenai bayaran hutang yang tidak dibayar oleh suspek beberapa kali sebelum ini.
"Suspek berusia 41 tahun itu yang tidak bekerja ditahan berhampiran lokasi kejadian oleh pasukan polis yang membuat rondaan
"Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau kesalahan jenayah tidak dikehendaki dan ujian awal saringan air kencing adalah positif dadah jenis Benzo," katanya.
Beliau berkata, turut dirampas rantai berserta mangga dan pisau pemotong daging.
"Suspek direman empat hari sehingga 16 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... tang-pun-kena-pukul |
|