|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo_2023-09-12_13-29-43_1694497164.jpg)
Tan Teng Inn, bersama isterinya Lim Eik Ying, melawat anaknya Tan Yu Fei, 6 bulan yang memerlukan bantuan rm80,000 untuk menjalani pemedahan di Hospital Gleaneagle. FOTO FATHIL ASRI.
Kuala Lumpur: Sejak dilahirkan Mac lalu, bayi perempuan ini tidak pernah berkesempatan pulang ke rumah, dan sentiasa dalam pemantauan doktor kerana penyakit dihidapinya.
Tan Yu Fei yang baru berusia enam bulan juga terpaksa dibantu untuk bernafas selepas disahkan menghidap jantung berlubang atau Atrioventricular Septal Defect (AVSD).
Bapa bayi itu Tan Teng Inn, 42, berkata, dia dan isteri, Lim Eik Ying, 36, mengesan kelainan pada anak mereka selepas Yu Fei dilahirkan.
"Ketika itu, jururawat beritahu pernafasan anak laju dan mungkin ada masalah jantung. Bayi saya juga sindrom Down.
"Saya memang tidak dapat menerima keadaan itu dan kecewa dengan perkara (penyakit) yang menimpa anak saya," katanya dalam temubual secara dalam talian di sini, hari ini.
Teng Inn berkata, anak kesayangannya perlu menjalani pembedahan segera untuk menutup lubang sebesar enam milimeter, dengan kos diperlukan RM80,000.
Katanya, dia tidak mampu menyediakan dana sebanyak itu kerana pendapatannya hanya RM1,200 sebulan, hasil pelbagai pekerjaan dilakukan termasuk pengaturcaraan bebas dan mengajar kanak-kanak memasang lego.
"Isteri pula menjual baju kanak-kanak secara dalam talian dan memperoleh RM1,300.
"Selain itu, saya perlu menguruskan ibu yang menjalani dialisis di rumah," katanya yang memberitahu tidak dapat bekerja buat masa ini kerana perlu menjaga anaknya.
Sementara itu, Eik Ying berharap bantuan orang ramai untuk membolehkan anaknya dibedah, seterusnya dapat membesar seperti kanak-kanak lain.
"Saya berharap keadaannya bertambah baik selepas pembedahan kerana saya ingin melihat dia seperti kanak-kanak (sihat) yang lain dan boleh bermain dengan abangnya di rumah.
"Kami bukan orang senang dan sangat memerlukan bantuan untuk menampung kos rawatan ini. Saya harap ada yang sudi membantu," katanya yang kini menetap sementara di rumah sepupunya di sini.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang tunai atau cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP.
Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.
Selain itu, ia boleh disalurkan menerusi akaun bank Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Maybank 5141-0532-3170 dan Bank Muamalat 1401-0008-8427-18).
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... udi-bantu-anak-saya |
|