|
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/Phone_Scam_1694487979.jpg)
PARIT BUNTAR: Seorang wanita warga emas mendakwa kerugian hampir RM500,000 akibat terpedaya dengan penipuan panggilan telefon atau 'phone scam' oleh individu menyamar pegawai polis dan wakil syarikat penghantar barangan.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata siasatan awal mendapati mangsa berusia 72 tahun yang juga bekas pekerja swasta itu mula dihubungi seorang lelaki mendakwa mewakili syarikat penghantaran pada 4 Ogos lalu.
Katanya, lelaki itu mendakwa mangsa ada membuat penghantaran bungkusan yang tidak berjaya dihantar kepada penerima, dengan kandungan bungkusan itu dikatakan kad kredit, cip kad pengenalan dan kad ATM.
"Mangsa menafikan perkara itu, tetapi panggilan kemudian disambungkan kepada dua individu yang menyamar sebagai pegawai polis, masing-masing dari Ibu Pejabat Polis Ipoh dan Bukit Aman," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, suspek ketiga kemudian memaklumkan mangsa terbabit dengan sindiket pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram lalu mengugut untuk menangkapnya.
"Mangsa yang ketakutan mengikut semua arahan suspek, termasuk memindahkan kesemua wang miliknya ke dalam akaun bank yang diberikan bagi mengelakkan wangnya dirampas dan dibekukan.
"Bermula 8 Ogos hingga 6 September, mangsa telah melakulan sebanyak 34 transaksi pemindahan wang ke dalam 11 akaun melalui mesin ATM di Bagan Serai, Perak dan Nibong Tebal, Pulau Pinang," katanya.
Menurutnya, suspek berjanji akan memulangkan wang terbabit setelah selesai siasatan dan meminta wanita itu tidak memaklumkan kepada sesiapa, kononnya bagi mengelak mengganggu siasatan yang dijalankan.
"Perkara itu disedari anak saudara wanita berkenaan yang datang melawatnya ketika mangsa mahu keluar rumah memindahkan wang. Atas nasihat ahli keluarga, wanita itu yang mengalami kerugian sebanyak RM485,000 membuat laporan polis, jam 11.40 pagi semalam," katanya.
Beliau memaklumkan, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
https://www.bharian.com.my/berit ... tengah-juta-ringgit |
|