Bagi Alif, gelaran 'haji' tidak menghalangnya terus tampil dalam naskhah drama, filem mahupun muzik.
Alif berkata, dia tidak pernah selektif memilih watak. Sebaliknya, dia sudah meletakkan batasan, lebih-lebih lagi selepas bergelar suami dan bapa.
Justeru, Alif berkata, kepulangannya daripada menunaikan haji Julai lalu tidak merubah apa-apa pendiriannya, terutama dalam soal batasan dalam lakonan.
"Sejak dulu, saya tidak pernah bersikap selektif, namun setiap watak dilakonkan perlu ada batasan.
"Sebab itu, saya tak letak apa-apa syarat kerana sentiasa menjaga disiplin dalam pekerjaan yang dilakukan.
"Sebelum menunaikan haji, saya tak pernah buat perkara bukan-bukan termasuk lakonan.
"Jujurnya, saya sukakan karakter berbeza seperti antagonis, barulah dapat buktikan kemampuan sebagai pelakon," katanya ketika ditemui pada sidang media filem Anak Perjanjian Syaitan 2, baru-baru ini.
Berkongsi pengalaman berlakon filem bergenre seram, Anak Perjanjian Syaitan 2 arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Alif berkata, ia memberi sedikit tekanan kepadanya.
Katanya, dia terpaksa ubah jadual harian kerana penggambaran dilakukan sebelah malam.
"Saya suka bangun pagi, hantar anak ke sekolah dan kemudian, berjoging. Namun, jadual harian berubah apabila penggambaran pada malam.
"Saya juga terpaksa tolak tawaran persembahan makan malam. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana ingin meneroka sesuatu yang baharu dalam bidang perfileman," katanya.
SUmber: BH Online