|
Terkejut lihat kereta rosak akibat khianat
TANGKAP layar video dimuat naik pemilik akaun TikTok yang memaparkan kejadian perbuatan khianat ke atas sebuah kereta di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Pudu, Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu, tular di media sosial, baru-baru ini. FOTO Ihsan Pembaca
Kuala Lumpur: Seorang lelaki terkejut apabila mendapati kereta miliknya yang diparkir di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Pudu, di sini, rosak teruk dalam kejadian, 30 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya mengesan video tular yang dimuat naik di TikTok mengenai kejadian itu jam 11.30 pagi tadi.
"Video dimuat naik pemilik akaun TikTok itu memaparkan kejadian perbuatan khianat ke atas sebuah kereta di tempat letak kereta di pusat beli-belah berkenaan.
"Semakan dilakukan pihaknya mendapati terdapat laporan diterima Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dibuat mangsa pada 30 Ogos lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ashari berkata, menurut mangsa, dia meninggalkan keretanya dalam keadaan berkunci dengan baik di tempat letak kereta itu.
"Bagaimanapun apabila mangsa datang semula ke tempat letak kereta terbabit untuk pulang, dia mendapati keretanya mengalami kerosakan.
"Kereta itu didapati rosak di bahagian cermin hadapan dengan bahagian kiri dan kanan kenderaan berkenaan calar serta kemek selain cermin sisi rosak," katanya.
Susulan laporan itu, kertas siasatan dibuka dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan perbuatan khianat.
Katanya, kes berkenaan masih di dalam siasatan pihak polis termasuk mengenal pasti suspek yang terbabit.
"Kami memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini supaya menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222.
"Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakh ... osak-akibat-khianat
|
|