PETALING JAYA: Pemuda Perikatan Nasional (PN) akan bertemu polis esok berhubung penganjuran himpunan “Gerakan Selamatkan Malaysia”, membantah tindakan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid Hamidi 16 Sept ini di Kuala Lumpur.
Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau dan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang dipanggil akan mengambil kesempatan itu berunding dengan polis bagi memastikan himpunan berjalan aman dan lancar.
Stay up-to-date by following FMT's Telegram channel
“Kami ingin membuat penjelasan berhubung perhimpunan aman akan berlangsung 16 Sept yang diulas timbalan ketua polis negara, di mana polis tak terima permit sehingga semalam.
“Pemakluman kepada polis dibuat semalam iaitu lima hari sebelum himpunan. Permohonan mengadakan himpunan juga telah berlaku antara pihak kami dan polis bermula semalam.
“Esok saya dengan Wan Fayhsal dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk beri keterangan, kami akan guna kesempatan itu berbincang secara baik dengan polis dan kami harap polis beri kerjasama,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Fadhli berkata, pihaknya juga terbuka untuk mengubah lokasi jika kawasan di depan kompleks beli-belah Sogo terlalu kecil untuk diadakan perhimpunan.
“Kami juga dapat maklumat supaya lokasi dapat dipindahkan di tempat luas, kami terbuka sebarang perubahan dan setakat ini, kami berbincang untuk ubah lokasi ke Bukit Bintang di depan Yayasan Selangor,” katanya.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihak yang ingin mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur 16 Sept ini perlu mengikut lunas undang-undang, termasuk membuat permohonan menganjurkannya terlebih dahulu.
Beliau berkata, mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang perhimpunan perlu membuat permohonan lima hari dari tarikh himpunan diadakan.
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register