|
Dikenali sebagai artis yang cukup berahsia mengenai hal peribadi, pelakon Bront Palarae lebih selesa masyarakat menilai hasil kerjanya.
"Saya tidak setuju jika ada yang berpendapat artis milik masyarakat. Kami cuma menghiburkan masyarakat, itu tugas dan tanggungjawab. Tetapi, itu tidak bermakna setiap inci kehidupan kami perlu diketahui umum.
"Sekurang-kurangnya ada sedikit bahagian yang disimpan sebagai ruang peribadi. Cukup keluarga dan mereka yang terdekat tahu, selebihnya biar saya simpan untuk diri sendiri.
"Itu cara saya. Jika artis lain bersedia untuk berkongsi kehidupan peribadi mereka, silakan. Itu hak masing-masing. Namun itu tidak bermakna saya menyembunyikan atau menyorokkan keluarga. Jika ke pusat beli-belah dan sebagainya, saya pegang tangan saja," katanya.
Menurut Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin, dia menceburi bidang seni kerana mahu berkongsi bakat, bukan bersandar cerita kontroversi yang tidak membantu namanya bertahan.
Katanya, media sosial dijadikan diari kerjaya seni dan akur menjadi perantara untuk lebih dekat dengan peminat yang menyokong perjalanan seninya.
"Tidak mahu menyinggung mana-mana pihak namun saya berbangga sepanjang pembabitan dalam bidang seni, saya berjaya untuk tidak terpampang dalam majalah beraksi di tepi kolam renang sambil tidak berbaju dan sebagainya.
"Walaupun orang kata 'kewajipan' bagi setiap selebriti namun saya bangga dapat menepis daripada menjadi sebahagian daripada itu. Tidak dinafikan saya pernah hampir goyah kerana terpengaruh namun mujur dapat menepisnya," katanya.
Sumber: Harian Metro |
|