|
BARISAN pemain negara meraikan gol negara. -FOTO FAM
Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara mula mempamerkan taring mereka apabila membelasah Filipina 4-0 pada perlawanan kedua kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-23 2024, di Stadium Chonburi, Thailand, sebentar tadi.
Malah, pasukan kendalian E Elavarasan hanya memerlukan tempoh 27 saat saja untuk merobek gawang Filipina menerusi larian Fergus Tierney di sebelah kanan sebelum melorongkan bola kepada Mukhairi Ajmal Mahadi untuk kedudukan 1-0.
Pasukan Harimau Muda diperkuatkan dua pemain berpangkalan di luar negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Laine lebih menguasai perlawanan pada babak pertama dengan melancarkan serangan berbahaya bagi menambah gol.
Usaha keras skuad B-23 ternyata berhasil apabila menyumbat gol kedua untuk Malaysia menerusi T Saravanan sebelum Harith Haiqal Adam pula melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti untuk pasukan negara mendahului perlawanan 3-0.
Filipina pula berpeluang untuk merapatkan jurang gol hadir pada masa tambahan separuh masa pertama namun gerakan menarik satu dua ditampilkan barisan serangan mereka berjaya dinafikan penjaga gol negara Azim Al Amin Kamarudin.
Memasuki babak kedua menyaksikan Elavarasan melakukan sekurang-kurangnya tiga pemain untuk menguatkan lagi jentera serangan pasukan negara.
Walaupun, perlawanan pada awalnya lebih dikuasai oleh skuad muda 'The Azkals' namun Malaysia masih lagi mampu mencipta jaringan menerusi Saravanan yang mudah menumpaskan penjaga gol Filipina, Dimitri Macapagal untuk kedudukan 4-0.
Tierney berpeluang mencetak nama sebagai penjaring gol ketika perlawanan berbaki dua minit namun sepakannya dari luar kotak penalti terkena palang sekali gus memberi kelegaan buat skuad Filipina.
Kedudukan 4-0 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan skuad muda negara berjaya mengumpul enam mata selepas mengharungi dua perlawanan.
Malaysia bakal bertemu tuan rumah pada 12 September ini sekali gus boleh dikatakan sebagai perlawanan penentuan siapa layak bergelar juara kumpulan H untuk layak secara automatik ke Piala Asia B-23 tahun depan.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... skuad-muda-filipina |
|