|
AKSI Neymar bersama Brazil. FOTO Agensi
Montevideo: Bintang sensasi Brazil, Neymar memecahkan rekod legenda bola sepak negara itu, Pele sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah Brazil selepas dia meledak dua gol dalam aksi Kelayakan Piala Dunia Zon Amerika Selatan awal pagi tadi.
Kejayaan mengatasi rekod itu selepas skuad Samba yang diperkuatkan Neymar berjaya membenam Bolivia 5-1, dengan dua gol yang dicipta olehnya membolehkan dia mengumpul 79 gol di depan Pele.
Sebelum aksi terbabit, Neymar dan Pele terikat 77 gol di mana rekod berkenaan dipecahkan dalam penampilan ke-125 bersama pasukan kebangsaan Brazil.
Fernando Diniz yang dilantik bagi menggantikan Tite selaku pengendali baharu Brazil akui, Neymar seorang pemain yang istimewa dan memiliki bakat semulajadi luar biasa.
"Ramai yang mahu melihat penampilannya di atas padang, tetapi kehadirannya bukan sekadar bermain tetapi lebih daripada itu. Dia meledak dua gol dan memecahkan rekod.
"Neymar adalah ikon kepada ramai pemain muda, dan dia berjaya membuktikan dirinya antara yang terbaik dalam sejarah bola sepak Brazil," kata Diniz.
Bekas penyerang Barcelona berusia 31 tahun itu sebelum ini meninggalkan Paris Saint-Germain untuk menyertai kelab Arab Saudi, Al-Hilal.
Pele, yang meninggal dunia pada usia 82 tahun Disember lalu, meledak 77 gol untuk Brazil dalam 92 penampilan dari tahun 1957 hingga 1971.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... tasi-kehebatan-pele |
|