|
Antony yakin masa depan tidak terjejas
Bintang Manchester United, Antony menegaskan dia tidak takut masa depannya di Old Trafford terjejas walaupun berdepan dakwaan daripada tiga orang wanita. - Foto AGENSI
Next
MANCHESTER: Bintang Manchester United, Antony menegaskan dia tidak takut masa depannya di Old Trafford terjejas walaupun berdepan dakwaan daripada tiga orang wanita yang menuduh dia menyerang mereka.
Bekas teman wanita Antony, Gabriela Cavallin mendakwa pemain itu menyerangnya sebanyak empat kali, dan dia juga didakwa oleh dua orang lagi wanita di Brazil, Rayssa de Freitas dan Ingrid Lana. Pemain 23 tahun itu menafikan sebarang salah laku.
Brazil menggugurkan Antony daripada skuad apabila dakwaan berkenaan muncul Isnin lalu, tetapi United tidak mengambil sebarang tindakan kerana polis masih meneruskan siasatan di Manchester dan Sao Paulo.
Bulan lalu, United memutuskan yang Mason Greenwood tidak lagi akan bermain untuk kelab walaupun dia menafikan dakwaan serangan dan cubaan merogol, yang turut digugurkan oleh mahkamah pada Februari.
Greenwood kini membina semula kariernya di Getafe, tetapi Antony, yang ditandatangani dari Ajax tahun lalu - tidak risau terhadap masa depannya dan yakin dakwaan ke atasnya juga akan digugurkan.
"Ia sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran saya. Saya tahu kebenaran akan muncul. Ramai yang menyelar saya, tetapi kebenaran pasti akan timbul. United sedang memantau perkara ini," kata Antony.
Antony bagaimanapun kecewa apabila digugurkan oleh Brazil untuk kempen kelayakan Piala Dunia menentang Bolivia dan Peru.
"Ia amat sukar, apatah lagi untuk perkara yang belum dipastikan sama ada betul atau tidak. Saya di sini (Brazil) bersama ibu saya ketika diberitahu akan digugurkan. Ia bukan mudah.
"Kami bekerja keras untuk merealisasikan impian, dan memakai jersi kebangsaan adalah impian saya setiap hari.
"Saya tidak pernah mengasari wanita, saya akan berikan bukti. Orang akan melihat kebenarannya. Saya mempunyai ibu, kakak, dan saya tidak mahu perkara sebegini berlaku kepada mereka," katanya.
Antara dakwaan Cavallin ialah Antony menghantuk kepala ke dadanya ketika bertengkar di sebuah hotel di Manchester pada Januari yang menyebabkan implan buah dadanya rosak. Dia juga menuduh United cuba menyembunyikan insiden berkenaan.
Menurut Antony, implan berkenaan sudah rosak sebelum mereka berkenalan.
"Keadaan silikon itu diperiksa pada tahun 2020 sebelum kami bertemu. Dia memang perlu menukarnya. Dia berada di hotel dan menghubungi saya. Kami makan tengahari bersama kemudian kami bertengkar.
"Saya cuba untuk pergi tetapi dia tidak melepaskan saya. Dia kemudian memecahkan gelas dan pinggan. Dia melemparkannya ke atas lantai dan ke arah saya. Saya hanya memegang dia, bukan mencederakannya," katanya.
Cavallin juga mendakwa Antony pernah mengugut untuk menghumbannya keluar dari kereta yang sedang bergerak ketika dia mengandung. Antony menafikan dakwaan berkenaan. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... epan-tidak-terjejas |
|