Ampang Jaya: Seorang wanita yang juga jurujual pencuci rambut ditemui mati bersama dua anaknya di bilik sewa mereka di Kampung Baru Ampang, di sini, pagi tadi.
Mayat tiga beranak itu ditemui oleh seorang lagi penyewa bilik lain unit rumah yang sama di sebuah pangsapuri di Kampung Baru Ampang, kira-kira jam 7.30 pagi.
 POLIS membawa keluar mayat tiga beranak yang ditemukan mati dalam bilik dipercayai bunuh diri di Ampang, Selangor, hari ini.
Susulan maklumat itu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, bergegas ke lokasi sebelum menemui jasad tiga beranak itu dalam sebuah bilik tidur utama.
Mayat wanita berusia 42 tahun terbabit ditemui bersama anak lelakinya yang berusia 14 tahun dan anak perempuan berusia 15 tahun.
Mayat tiga beranak itu ditemukan di dalam bilik tidur pertama dengan pintu dan tingkap bilik ditutup rapat menggunakan pita pelekat.
Siasatan awal mendapati ketiga-tiga mereka disyaki mati akibat terhidu bau gas penghidup api.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, turut ditemukan arang bersama penyala api diletakkan di bawah sofa bilik itu serta surat wasiat dan wang bercampur.
“Polis percaya ini adalah kes bunuh diri dan tempoh kematian melebihi 24 jam.
“Bagaimanapun siasatan diteruskan bagi mengenal pasti motif dan mengesan sebarang unsur jenayah sekiranya ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemeriksaan oleh Pegawai Pembantu Perubatan Hospital Ampang, mengesahkan ketiga-tiga mangsa sudah meninggal dunia lebih dari 24 jam.
Sumber: BH Online, Utusan |