|
SOUTHGATE akan melepaskan jawatannya sebagai pengendali England selepas berakhirnya Euro 2024 nanti. - AFP
LONDON – Persatuan Bola Sepak (FA) England dikatakan mahukan khidmat Pengurus Manchester City, Pep Guardiola sebagai pengganti kepada Gareth Southgate yang akan melepaskan jawatannya selepas tamat Kejohanan Euro 2024.
Southgate, 53, sebelum ini pernah menyatakan hasratnya untuk meninggalkan The Three Lions selepas berakhirnya Piala Dunia Qatar 2022 sebelum beliau membuat ‘pusingan U’ kembali bersama pasukan itu.
Bagaimanapun, FA England memandang serius laporan-laporan mengenai keputusan terbaharu Southgate dan bercadang ‘memancing’ Guardiola bagi menghadapi Piala Dunia 2028 yang akan diadakan di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.
Badan induk itu merasakan Guardiola, 52, adalah calon paling sesuai untuk menamatkan penantian England menjulang Piala Dunia selepas kali terakhir memenanginya sewaktu edisi 1966.
Bagaimanapun, FA England perlu membayar pampasan kepada City memandangkan bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu masih berbaki setahun kontrak di Etihad selepas tamat Euro 2024.
Sebelum ini, tiga nama berada dalam radar FA England untuk menggantikan tempat Southgate iaitu Eddie Howe, Graham Potter dan Mauricio Pochettino.
Buat masa ini, Southgate memberikan fokusnya kepada dua aksi antarabangsa bulan ini bermula kelayakan Euro 2024 kempen Kumpulan C menentang Ukraine di Wroclaw, Poland awal pagi Ahad ini.
Selepas itu, The Three Lions akan membuat perhitungan dengan seteru tradisi, Scotland dalam aksi persahabatan di Hampden Park, Glasgow tiga hari kemudian. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/09 ... on-ganti-southgate/ |
|