BAYAN LEPAS: Tindakan mencabar garis panduan konsert di universiti menerusi semakan kehakiman dilihat sebagai perbuatan sia-sia, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, ini memandangkan garis panduan berkenaan belum diluluskan, sekali gus berpandangan tindakan sedemikian hanya membuang masa pihak berkenaan kerana membahaskan sesuatu yang tidak wujud.
"Saya sudah katakan bahawa garis panduan itu belum diluluskan. Jadi saya fikir ia adalah (tindakan) sia-sia. Ia hanya membuang masa kerana saya telah menyatakan bahawa benda itu tiada...sebab saya belum luluskan.
"Jadi anda hendak buat judiciary (semakan kehakiman) untuk benda yang saya tak luluskan buat apa?" katanya kepada pemberita selepas melawat syarikat inkubator, Oppstar Technnology Sdn Bhd di Taman Penyelidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Sains@USM, di sini, hari ini.
Mohamed Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan persatuan pelajar yang meminta sumbangan bagi membiayai semakan kehakiman terhadap apa yang didakwa cadangan garis panduan konsert di universiti seperti dilaporkan sebuah portal berita, semalam.
Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany) itu dilaporkan berkata semakan kehakiman itu adalah perlu bagi melindungi autonomi mahasiswa yang didakwa semakin berkurangan di sebalik garis panduan aktiviti hiburan yang dicadangkan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang ditularkan di media sosial baru-baru ini.
Mohamed Khalid sekali lagi mengulangi pihaknya menyerahkan kepada pelajar dan pengurusan IPT dalam menentukan garis panduan untuk penganjuran aktiviti hiburan atau konsert yang diadakan di institusi mereka.
"Bagaimanapun saya telah menyerahkan kepada pelajar (garis panduan). Jadi anda mahu berpolitik? Ada banyak cara lain untuk menjadi popular," katanya.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (empat dari kanan) mengadakan lawatan kerja ke pejabat OPPSTAR Technology Sdn Bhd, di Sains@USM, Pulau Pinang, hari ini. NSTP/Mikail Ong