CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2394|Reply: 0

Affendi serah tugas Panglima Angkatan Tentera kepada Mohammad pada Rabu

[Copy link]
Post time 4-9-2023 05:55 PM | Show all posts |Read mode

AFFENDI bersama isteri, Tengku Muhaini Sultan ketika istiadat khas, sempena Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Tentera Ke-21 di Pangkalan Udara Kuantan. FOTO Farizul Hafiz Awang

Kuantan: Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang bakal menamatkan perkhidmatan selepas lebih 43 tahun bersama pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), akan menyerahkan tampuk pemerintahan itu kepada Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman pada Rabu.

Affendi ketika memaklumkan perkara berkenaan berkata, beliau yakin penggantinya itu, mempunyai kemampuan yang unik dan tersendiri, untuk meneruskan kesinambungan legasi dan hasrat yang dibina selama ini.

Beliau berkata, dengan landskap keselamatan serantau dan global yang semakin kompleks dan dinamik pada hari ini, ia menuntut ATM untuk dikemudi oleh seorang pemimpin generasi moden yang lebih bertenaga, produktif serta kompetitif.

"Sejujurnya, saya menerima persaraan ini dengan hati yang terbuka, selain merasa gembira kerana dapat meneruskan legasi kepimpinan terdahulu, di samping dapat menyediakan asas yang sewajarnya untuk pengganti saya kelak.

"Justeru, besarlah harapan saya agar seluruh barisan kepimpinan serta segenap lapisan warga ATM daripada ketiga-tiga perkhidmatan, termasuklah warga Kementerian Pertahanan, agar dapat meneruskan sokongan dan dorongan yang sama kepada Panglima Angkatan Tentera yang baharu ini nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Tentera Ke-21, di Pangkalan Udara di sini, hari ini, yang turut dihadiri isterinya, Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (Bakat) Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah.

Turut hadir Mohammad, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Affendi yang juga anak kelahiran Kuching, Sarawak dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-21 pada 2 Januari 2020, selepas mengambil alih daripada Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan akan bercuti sempena persaraannya sebelum menamatkan perkhidmatan pada Februari 2024.

Sementara itu, Affendi turut berharap warga ATM menerapkan kualiti terpuji serta memastikan integriti dan disiplin diri dipelihara dengan baik, demi nama baik dan imej pasukan agar ia sentiasa berada di puncaknya.

Beliau turut mengingatkan., ATM perlu sentiasa merancang, memantau serta menilai strategi jangka panjang dengan penuh berhati-hati, bagi mengelakkan terperangkap ke dalam Sindrom Angkatan Lompong.

Bekas Panglima Tentera Udara itu turut menyentuh aspek kebajikan warga ATM selepas memasuki alam persaraan, dan menyeru agar mereka cakna tentang perkara ini dan membuat persediaan yang sewajarnya mulai sekarang.

Dalam ucapannya, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Pemerintah Tertinggi ATM, kerajaan selain warga ATM di atas komitmen yang diberikan.

Terdahulu, istiadat yang dijalankan dengan penuh tradisi ketenteraan itu membabitkan 63 pegawai dan 723 anggota dengan perarakan 15 Panji-Panji, selain melibatkan 31 aset pelbagai kategori iaitu pesawat pejuang dan angkut serta helikopter daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pada majlis penghargaan khas itu, turut diadakan penyampaian Buku Memoir i38 kepada Affendi oleh Presiden Kelab i38 Leftenan Jeneral (B) Datuk Subari Tomo, sebelum acara tradisi 'menghantar' menggunakan pesawat MiG-29 Fulcrum dan 'perbarisan hormat' dilaksanakan sebagai tanda penghormatan kepada beliau dan isteri.

Affendi mula memasuki perkhidmatan TUDM pada 1980, selepas menamatkan pengajian di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi, Kuala Lumpur sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda TUDM dan dianugerahkan sayap penerbangan pada 1982.

Kerjaya beliau sebagai Juruterbang Pesawat Pejuang bermula dengan pesawat MB339A, A4-PTM Skyhawk dan MiG-29, sehingga berjaya memperoleh lebih 2,000 jam pengalaman penerbangan.

Sepanjang melaksanakan tempoh operasi sebagai juruterbang pesawat tempur, Affendi terbabit secara aktif dalam pelbagai operasi udara di dalam Malaysia, termasuk menentang pengganas komunis, meronda zon maritim dan ruang udara negara selain turut menjadi pengasas kepada pasukan aerobatik taktikal TUDM MiG-29 yang dikenali sebagai 'Smokey Bandit'.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -mohammad-pada-rabu

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 08:04 AM GMT+8 , Processed in 0.288077 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list