|
Pemain Malaysia, Paulo Josue meraikan jaringan ketika aksi menentang Papua New Guinea. - NSTP/GHAZALI KORI
KUALA LUMPUR: Kedudukan ranking tidak menjanjikan apa-apa kerana Harimau Malaya sedia memberi cabaran yang sengit ke atas Syria dan China pada aksi persahabatan di Chengdu, China, masing-masing pada 6 dan 9 September ini.
Meskipun Malaysia ketinggalan berpuluh-puluh anak tangga di belakang dua pasukan yang menghuni kelompok 100 terbaik dunia itu, pemain naturalisasi negara, Paulo Josue percaya mereka mampu memberikan persembahan yang berkualiti menentang kedua-dua pasukan terbabit.
"Ini adalah bola sepak di mana pasukan yang berada pada ranking lebih bawah boleh menewaskan pasukan yang berada di ranking lebih tinggi. Kita sudah bersedia sepenuhnya untuk memberi cabaran kepada Syria.
"Saya lihat kita memiliki segala-galanya untuk memberikan perlawanan yang terbaik. Semua pemain tahu apa yang perlu dilakukan dan sudah memahami corak permainan serta falsafah yang diinginkan barisan kejurulatihan.
"Ini satu pilihan yang tepat menentang pasukan di ranking lebih tinggi kerana kita tahu aksi pada Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 dan Piala Asia 2023 juga tidak mudah.
"Kita perlu ambil cabaran ini," katanya pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kelmarin.
Sebagai rekod, pemain tengah itu menjadi antara pemain paling menyerlah dalam dua aksi persahabatan terakhir apabila meledak empat gol termasuk hatrik ketika Malaysia membelasah Papua New Guinea 10-0.
"Sedikit tekanan buat saya apabila kembali ke kem latihan pusat tetapi semuanya berjalan dengan baik. Sudah tentu saya mahu meledak banyak gol tetapi menentang pasukan yang kuat, saya tidak jangka banyak gol akan disaksikan.
"Siapa pun yang bermain nanti, mereka perlu berikan yang terbaik kerana mereka adalah pemain terbaik dalam negara ketika ini.
"Saya tidak kisah untuk lakukan apa sahaja untuk membantu pasukan dan jika ada peluang menjaringkan gol, saya akan cuba lakukannya," kata Josue.
https://www.bharian.com.my/sukan ... ranking-dunia-lawan |
|