|
SHAKIR (dua kanan) enggan kempunan lagi beraksi dalam saingan Piala AFC musim ini. FOTO GHAZALI KORI
Kuala Terengganu: Selepas kempunan beraksi di pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) pada 2021, penyerang muda Terengganu FC (TFC), Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob tidak mahu melepaskan peluang kedua beraksi di pentas Asia itu pada 20 September ini.
Jelas pemain berusia 25 tahun kelahiran Besut itu, dia mahu membuktikan kemampuan sebenarnya di pentas Asia itu pada penampilan pertamanya selepas tidak dapat dibuktikan pada dua tahun lalu.
Shakir yang memulakan kariernya bersama skuad Belia Terengganu pada 2017 dan kemudian bersama Terengganu FC II (TFC II) pada 2020 sebelum dinaikkan 'pangkat' bersama pasukan utama, TFC pada 2021 sehingga kini 2023 juga idam untuk meledak jaringan pada pentas Asia itu.
"Sejujurnya saya begitu kecewa dan kempunan kerana tidak dapat membantu TFC pada pentas Asia dua tahun lalu kerana saingan terpaksa dibatalkan berikutan wabak pandemik Covid-19 yang semakin serius ketika itu.
"Jadi peluang kedua ini saya tekad untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dengan aksi terbaik lebih-lebih lagi ia bakal menjadi penampilan sulung saya.
"Namun ia terpulang kepada barisan kejurulatihan yang diketuai Tommy (Tomislav Steinbruckner) sama ada bakal menyenaraikan saya pada aksi pertama menentang kelab dari Australia, Central Coast Mariners pada 20 September ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak," katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, pemain yang sudah meledak empat gol dalam saingan Liga Super dan satu gol Piala FA itu juga mahu menjadikan aksi dalam saingan Piala AFC itu nanti sebagai medan terbaik buatnya untuk menarik perhatian ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.
"Setakat ini saya belum pernah bersama pasukan kebangsaan, akan tetapi nama saya ada dalam senarai menunggu untuk perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang China dan Syria yang akan berlangsung di Chengdu, China, pada 6 dan 9 September ini bersama rakan sepasukan, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Nor Hakim Hassan.
"Besar harapan saya sebelum menamatkan karier dalam sukan ini, nama saya disenaraikan dalam pasukan kebangsaan, ini impian saya sejak di bangku sekolah rendah lagi," katanya.
Pada peringkat kumpulan saingan Piala AFC itu, TFC diundi dalam Kumpulan G bersama tiga pasukan iaitu Bali United (Indonesia), Central Coast Mariners (Australia) dan kelab Filipina, Stallions Laguna FC.
Walaupun ketiga-tiga pasukan tersebut kuat, akan tetapi TFC mempunyai kelasnya yang tersendiri untuk menghadapi cabaran yang berliku itu.
Selepas bertemu Central Coast Mariners, TFC bakal menentang Bali United pada 4 Oktober dan Stallion Laguna FC pada 26 Oktober pada pusingan pertama.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... nggan-kempunan-lagi |
|