Foto fail AFP
JEDDAH: Arab Saudi menyaksikan lonjakan luar biasa jemaah umrah dengan peningkatan ketara kehadiran di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah dengan jangkaan 30 juta kehadiran pada musim ini.
Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Dr Abdelfattah Mashat, berkata terdapat peningkatan ketara jemaah dari semua negara dengan jumlah terbesar datang dari Pakistan, Indonesia, India, Iraq, Yaman dan Bangladesh.
"Tempoh akan datang akan menyaksikan peningkatan jumlah jemaah dari pelbagai negara lain di dunia", katanya.
Ucapan beliau selepas sebulan setengah bermulanya musim umrah di awal tahun baharu Hijrah dengan kebanjiran jemaah ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi menandakan musim ketika ini akan mencatatkan peningkatan yang akan melebihi musim sebelumnya.
Lonjakan itu didorong usaha kerajaan Arab Saudi memudahkan umat Islam dari seluruh dunia mengunjungi dua masjid suci berkenaan, lapor Saudi Gazette yang memetik laporan Asharq al-Awsat
Dr Mashat menegaskan peningkatan jumlah jemaah disebabkan beberapa faktor, yang paling utama adalah usaha kerajaan memudahkan prosedur visa.
Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan adalah kemudahan disediakan menerusi platform Nusuk untuk orang ramai mendapatkan visa dan berkomunikasi dengan penyedia perkhidmatan, serta peningkatan bilangan syarikat yang beroperasi dalam perkhidmatan umrah, dan mereka yang khusus dalam bidang perhotelan yang bersaing dalam memberikan perkhidmatan terbaik dengan kualiti tinggi.
Peraturan baharu itu juga berperanan membolehkan mereka yang datang dari luar Arab Saudi yang memegang pelbagai jenis visa menunaikan umrah, di samping memanjangkan tempoh sah visa umrah kepada 90 hari dan membatalkan keperluan mahram (saudara kandung) untuk menemani jemaah wanita, kata Dr Mashat.
Peningkatan jumlah jemaah umrah juga disebabkan kemudahan yang membenarkan permohonan terus visa umrah melalui platform Nusuk, serta keputusan mengurangkan nilai insurans perubatan tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan disediakan, dan membenarkan pemegang visa untuk bergerak ke seluruh wilayah Arab Saudi.
Bercakap mengenai Nusuk, Dr Mashat berkata ia adalah platform paling menonjol dalam transformasi digital dan teknikal dalam memberi khidmat kepada jemaah haji kerana ia adalah portal komprehensif yang mana pengguna boleh merancang keseluruhan perjalanan umrah.
Antara yang menyumbang dalam memastikan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah sepanjang perjalanan adalah penubuhan Pusat Jagaan Tetamu (Enaya) oleh Kementerian Haji dan Umrah yang bercirikan bekerja sepanjang masa menerima aduan umrah dalam pelbagai bahasa, serta berusaha menanganinya dalam tempoh paling singkat.
Dr Mashat berkata, kementerian juga berminat memantau kerja penyedia perkhidmatan umrah melalui beberapa mekanisme susulan, sambil menegaskan terdapat peraturan jelas dalam hal berkenaan untuk menentukan pelanggaran dan penalti.
Beliau menjangkakan jemaah umrah akan mencecah 30 juta lebih-lebih lagi selepas kemudahan disediakan kepada mereka yang ingin mengunjungi dua masjid dan menunaikan ibadah umrah termasuk beberapa inisiatif seperti memanjangkan musim umrah, mengurangkan tempoh pengeluaran visa, memudahkan prosedur untuk memasuki negara ini, membangunkan pendaftaran perkhidmatan ciri penting, selain memuat naik dokumen perjalanan sebelum tiba melalui aplikasi Saudi Visa Bio.
Katanya, ini adalah beberapa langkah diambil Arab Saudi untuk menyumbang kepada mengurangkan masa prosedur pengesahan semasa ketibaan jemaah umrah, dengan menyatakan bahawa prosedur itu dilaksanakan setakat ini dengan negara-negara United Kingdom, Malaysia, Bangladesh , Tunisia dan Kuwait. - AGENSI
|