|
Penjaga gol Cameroon, Andre Onana (kanan) bersama jurulatih Rigobert Song ketika sesi latihan Piala Dunia di Qatar November lalu. – Foto REUTERS
YAOUNDE: Penjaga gol Manchester United, Andre Onana dipanggil semula ke dalam skuad Cameroon kira-kira sembilan bulan selepas dia meninggalkan pasukan ketika Piala Dunia di Qatar.
Onana disenaraikan semalam oleh jurulatih Rigobert Song dalam skuad bagi aksi kelayakan Piala Negara-Negara Afrika menentang Burundi di Garoua pada 12 September ini, yang mana Indomitable Lions hanya perlu seri bagi memastikan tempat ke pusingan akhir di Ivory Coast, Januari depan.
Onana, 27, meninggalkan skuad Cameroon di Qatar November lalu selepas aksi pertama peringkat kumpulan menentang Switzerland susulan pertikaian dengan Song mengenai taktik dan latihan.
Persekutuan Bolasepak Cameroon menyatakan dia digantung dan dihantar pulang dan Onana tidak bermain buat negaranya sejak itu, sesudah mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa.
Namun pada sidang akhbar di Yaounde semalam, Song menafikan beliau ada masalah dengan Onana dan berkata ia perkara biasa kerana pemain itu adalah penjaga gol terbaik dimilikinya dalam skuad.
"Tidak pernah ada masalah dengan Andre, pintu sentiasa terbuka buatnya dan kami gembira dia kembali menyertai kelompok pemain ini," kata Song. – REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan ... gil-cameroon-semula |
|