|
HAALAND ketika meraikan kejayaan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris. FOTO AFP
London: Penyerang Manchester City, Erling Haaland merangkul anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA selepas musim pertamanya yang cemerlang dengan memenangi treble.
Bintang England dan Aston Villa, Rachel Daly pula memenangi anugerah untuk kategori wanita.
Dianjurkan oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA), anugerah itu memberi pengiktirafan kepada pemain lelaki dan wanita terbaik dalam bola sepak Inggeris pada tahun 2023.
Haaland menikmati musim pertama yang menakjubkan bersama City apabila menjaringkan 52 gol dalam semua pertandingan ketika anak buah Pep Guardiola memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan Liga Juara-Juara.
Pemain berusia 23 tahun itu mengatasi rakan sepasukan, John Stones dan Kevin De Bruyne, serta gandingan Arsenal, Bukayo Saka dan Martin Odegaard serta bekas penyerang Tottenham, Harry Kane yang kini beraksi bersama Bayern Munich.
"Ia satu penghormatan dapat memenangi anugerah berprestij ini. Untuk diiktiraf oleh pesaing anda adalah perasaan yang sangat hebat dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengundi saya.
"Ia adalah musim yang tidak dapat dilupakan oleh pasukan dan untuk saya secara peribadi. Memenangi treble adalah sesuatu yang tidak pernah saya impikan, jadi mencapainya dengan kumpulan pemain istimewa adalah sangat menakjubkan.
"Kami mencipta beberapa detik yang luar biasa musim lalu, tetapi kini kami mahu melakukan perkara yang sama sekali lagi tahun ini. Kami memulakan musim dengan baik dan perlu meneruskannya," kata Haaland.
Saka pula dipilih sebagai Pemain Muda Terbaik Lelaki manakala Lauren James dari Chelsea menerima anugerah untuk wanita.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... k-pfa-milik-haaland |
|