|
Pemain tengah Real Madrid, Jude Bellingham meraikan jaringkannya ketika menewaskan Celta Vigo pada aksi La Liga Sepanyol di Stadium Balaidos, Vigo awal pagi tadi. – Foto AFP
BARCELONA: Jude Bellingham meneruskan permulaan mengagumkan dalam kehidupan di La Liga dengan tandukan lewat permainan bagi membantu Real Madrid menang 1-0 di Celta Vigo, awal pagi tadi.
Pemain antarabangsa England itu menyumbat gol keempatnya dalam tiga perlawanan di liga utama Sepanyol bagi menamatkan kedegilan Vigo dan mengecewakan tuan rumah yang menyambut ulang tahun ke-100 minggu ini.
Rodrygo terlepas sepakan penalti buat Real Madrid, manakala Vinicius Junior terpaksa dikeluarkan pada babak pertama selepas dilihat mengalami kecederaan paha, sekalipun laporan awal Sepanyol menyatakan dia tidak akan berehat terlalu lama.
Kepa Arrizabalaga membuat penampilan sulung di pintu gol Real Madrid secara pinjaman dari Chelsea sebagai pengganti kepada Thibaut Courtois yang cedera, manakala Carlo Ancelotti meneruskan dengan Bellinghan di posisi No 10, yang mana dia terbukti berbisa.
Pemain kebangsaan England itu meneruskan prestasi jaringannya menentang Celta, akhirnya menemui kelemahan di benteng mereka ketika bekas pengurus Madrid, Rafael Benitez menerapkan sistem lima pemain pertahanan.
Rodrygo (kanan) memenangi sepakan penalti selepas bertembung dengan penjaga gol Celta Vigo, Ivan Villar di Stadium Balaidos, Vigo awal pagi tadi. – Foto AFP
Vinicius digantikan pemain antarabangsa Sepanyol, Joselu selepas 17 minit dengan pahanya dibalut, kebimbangan buat Madrid memandangkan skuad mereka agak longgar musim ini di bahagian serangan, dengan pemenang Ballon d'Or Karim Benzema dan beberapa penyerang lain meninggalkan pasukan.
Madrid sukar untuk membuat hantaran kepada Bellingham yang dijaga ketat pertahanan Celta, namun Rodrygo meluru untuk memenangi satu sepakan penalti.
Penyerang Brazil itu bertuah mendapatnya selepas penjaga gol Celta, Ivan Villar menumbuk bola keluar sebelum kedua-duanya bertembung.
Bagaimanapun Villar menghasilkan satu tindakan penyelamat mengagumkan menerusi sepakan penalti itu untuk mengekalkan kedudukan sebelum Bellingham hadir menjadi pemusnah.
Pemain tengah itu memecah kebuntuan pada minit ke-81 apabila dia kekal di dalam kotak penalti dan menanduk masuk dari jarak dekat selepas Joselu menanduk bola ke arah gol. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... -madrid-sekali-lagi |
|