Moscow: Penyiasat Rusia pada Jumaat berkata, mereka sudah menemui perakam penerbangan dan 10 mayat dari tempat kejadian pesawat terhempas yang dipercayai menyebabkan ketua kumpulan Wagner, Yevgeny Prigozhin, terbunuh.
Siasatan dijalankan mengenai penyebab kemalangan pada Rabu itu yang berlaku tepat dua bulan selepas pemberontakan Wagner terhadap kepimpinan tentera Moscow.
"Dalam menjalankan kerja penyiasatan awal, mayat 10 mangsa ditemukan di lokasi nahas pesawat.
"Analisis genetik molekul sedang dijalankan untuk menentukan identiti mereka," kata Jawatankuasa Penyiasatan Rusia di media sosial, sambil menambah bahawa perakam penerbangan juga ditemukan dari tempat kejadian.
Sejak nahas itu, yang turut meragut nyawa beberapa rombongan rapat Prigozhin, banyak negara Barat dan pengkritik Kremlin membuat spekulasi bahawa ketua Wagner itu mungkin dibunuh.
Kremlin menolak spekulasi ia terbabit kejadian itu, menganggap insiden itu sebagai tragis dan menolak khabar angin mengenai kemungkinan melakukan kesalahan dan ia sebagai 'pembohongan mutlak'.
Pegawai Rusia berkata, mereka sudah membuka siasatan ke atas pelanggaran peraturan lalu lintas udara, tetapi sebaliknya berdiam diri mengenai apa yang mungkin menyebabkan kejadian itu.