|
SILVA (kiri) kekal bersama Man City sehingga 2026. FOTO AFP
London: Bernardo Silva akan kekal di Manchester City sekurang-kurangnya sehingga 2026 selepas pemain tengah Portugal itu menandatangani kontrak baharu bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Eropah itu.
Silva dikaitkan akan meninggalkan Stadium Etihad, dengan gergasi Sepanyol, Barcelona, dilaporkan berminat mendapatkan pemain berusia 29 tahun itu.
Tetapi dia menamatkan spekulasi yang berlarutan mengenai masa depannya dengan bersetuju menandatangani kontrak baharu bersama pemenang treble musim lalu itu selepas kontraknya sebelum ini akan berakhir pada 2025.
"Saya melalui tempoh enam tahun yang luar biasa di Manchester City dan saya gembira untuk melanjutkan karier saya di sini.
"Saya akan memasuki musim ketujuh di City. Sejak tiba, saya hanya ingat satu musim sahaja kami tidak berjaya.
"Jadi berada di sini sehingga sekarang membolehkan saya menjulang trofi dan memenangi perlawanan kerana saya sememangnya sukakan kemenangan," kata Silva kepada laman web kelab itu.
Silva menyertai City pada 2017 dan sudah menjaringkan 55 gol dalam 308 penampilan selain berjaya memenangi banyak trofi di bawah bimbingan Pep Guardiola iaitu lima gelaran EPL, dua Piala FA, empat Piala Liga dan satu Liga Juara-Juara.
"Bernardo sangat luar biasa sepanjang berada di Etihad. Kami gembira kerana dia sudah menandatangani lanjutan kontrak dengan kelab.
"Kualiti dan keupayaan teknikalnya sangat hebat, selain sifat kerja keras serta sangat profesional. Dia adalah salah seorang pemain terbaik di dunia.
"Bernardo sangat penting pada musim kami memenangi gelaran treble dan kami pasti dia boleh membantu memenangi lebih banyak trofi dalam tempoh beberapa tahun akan datang," kata pengarah bola sepak City, Txiki Begiristain.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ekal-milik-man-city |
|