|
KELANTAN terpaksa mengharungi baki saingan musim ini tanpa pemain import baharu apabila proses pendaftaran tidak dapat dilaksanakan.
KEPUTUSAN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk tidak membenarkan Kelantan mendaftarkan pemain asing baharu adalah bagi memastikan situasi lebih adil buat semua pasukan di seluruh dunia.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman, berkata pihaknya sudah pun menerima penjelasan daripada FIFA pada Rabu lalu dan badan induk bola sepak dunia itu kekal dengan peraturan berkenaan.
“Prinsip undang-undang mengenai pendaftaran pemain ini adalah bersifat seragam, universal dan diguna pakai untuk sistem perpindahan antarabangsa dalam bola sepak. Surat jawapan tersebut telah dihantar oleh FAM kepada Kelantan FC untuk pemakluman.
“Surat daripada FIFA tersebut telah memberikan jawapan yang tegas, terang dan jelas bahawa Kelantan FC adalah tidak dibenarkan lagi untuk mendaftarkan pemain-pemain asing pada musim 2023 ini.
“Kegagalan ini adalah disebabkan Kelantan FC gagal untuk melengkapkan dokumen pendaftaran pemain sebelum jendela perpindahan pemain kedua yang telah pun ditutup pada 1 Ogos,” katanya.
Sebelum ini, pemilik Kelantan, Norizam Tukiman mendakwa situasi sukar dihadapi pasukan ketika ini berpunca daripada sikap pilih kasih pegawai FAM yang dianggap tidak membantu kelab itu dalam menyelesaikan masalah teknikal sistem TMS (Transfer Matching System).
Mengikut fakta yang ada, FAM berpendirian kenyataan kenyataan yang dibuat Norizam atau Zamsaham adalah tidak benar dan bertegas badan induk itu sudah pun mencuba sehabis baik untuk membantu The Red Warriors.
https://www.kosmo.com.my/2023/08 ... lengkapkan-dokumen/ |
|