|
HENRY muncul juara Piala Dunia 1998 dan Euro 2000 bersama Perancis. FOTO FAIL AFP
Paris: Thierry Henry dinamakan sebagai jurulatih skuad Bawah 21 Tahun (B-21) Perancis dan akan membimbing pasukan ke Sukan Olimpik Paris 2024, tahun depan, kata sumber rapat kepada rundingan itu.
Bekas penyerang Arsenal dan Perancis berusia 46 tahun itu menggantikan Sylvain Ripoll dan kembali ke bidang pengurusan selepas meninggalkan tugas sebagai pembantu jurulatih Belgium di Piala Dunia Qatar 2022.
Henry yang memenangi Piala Dunia 1998 dan Euro 2000 bersama Perancis, gagal menyamai pencapaian hebat itu dalam bidang kejurulatihan.
Dia hanya bertahan tiga bulan sebagai pengurus Monaco pada musim 2018-19 dan meletak jawatan sebagai pengurus kelab MLS, Montreal Impact pada Februari 2021 iaitu hanya selepas setahun bersama mereka.
Sia turut bersama kelab remaja Arsenal dan dua kali berkhidmat sebagai staf kejurulatihan Belgium dan membantu negara itu menduduki tempat ketiga Piala Dunia 2018.
Henry yang menjaringkan 51 gol dalam 123 perlawanan untuk Perancis, turut pernah berkhidmat sebagai perunding televisyen beberapa kali.
Di Olimpik nanti, dia berpeluang membina pasukan di sekeliling Kylian Mbappe apabila kapten Perancis itu menyatakan keinginan untuk beraksi di kejohanan berkenaan, yang biasanya untuk pemain berusia di bawah 23 tahun.
Tugas pertama Henry sebagai jurulatih B-21 Perancis adalah aksi persahabatan dengan Denmark di Nancy pada 7 September iaitu empat hari sebelum memulakan kelayakan Euro 2025 di Slovenia.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -olimpik-paris-2024 |
|