|
MAC ALLISTER (tiga dari kanan) dilayangkan kad merah selepas melakukan kekasaran terhadap pemain Bournemouth pada aksi kelmarin. - AFP
LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp bercadang untuk melakukan rayuan terhadap kad merah Alexis Mac Allister ketika atasi Bournemouth 3-1 di Anfield, kelmarin.
Pengadil perlawanan, Thomas Bramall terus melayangkan kad merah kepada pemenang Piala Dunia itu, namun tindakan berkenaan dilihat terburu-buru dan agak kejam buat Mac Allister.
“Saya fikir sudah berapa kali saya ditanya mengenainya, namun ia (kad merah) wajar dibincangkan semula dan kami mungkin akan melakukannya (rayuan).
“Selepas perlawanan saya menyaksikan semula insiden berkenaan. Tempoh yang kami terpaksa bermain 10 orang sudah jadi satu bentuk hukuman dan kami perlu bercakap mengenai perkara ini dengan pihak berkaitan,” katanya.
Aksi sulung The Reds di laman sendiri berlangsung penuh dramatik dengan menyaksikan Luis Diaz, Mohamed Salah dan Diogo Jota melengkapkan kebangkitan, namun terpaksa bermain 10 orang dalam tempoh 30 minit terakhir.
Mengulas mengenai prestasi pemainnya, Klopp akui Liverpool gagal bermain dengan baik pada awal perlawanan hingga memberikan gol pembukaan buat Bournemouth menerusi Antoine Semenyo.
“Di awal permainan ia jelas tidak seperti yang kami mahukan, kami bolos awal, namun semua itu menyedarkan kami untuk kembali memberikan aksi terbaik dan memenangi perlawanan kali ini,” ujarnya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/08 ... merah-mac-allister/ |
|