ROKET Soyuz-2.1b yang membawa kapal angkasa Luna-25 dilancarkan dari tapak pelepasan Vostochny Cosmodrome di wilayah Amur, Rusia. FOTO fail Roscosmos/ Pusat Angkasa Vostochny/ Reuters
Moscow: Agensi angkasa lepas Rusia, Roscosmos mengesahkan kapal angkasa, Luna-25 terhempas di bulan selepas ia berputar tanpa kawalan.
Menurut Roscosmos, pihaknya terputus hubungan dengan Luna-25, jam 2.57 petang waktu tempatan, Sabtu lalu.
Hasil siasatan awal mendapati pendaratan tidak berlaku kerana perlanggaran dengan permukaan bulan.
"Usaha dilakukan pada 19 dan 20 Ogos lalu untuk mengesan kapal itu dan menghubunginya tetapi tidak berjaya," tambah agensi angkasa itu.
Siasatan kementerian akan dijalankan bagi mengetahui punca nahas, tanpa memberi sebarang petunjuk berhubung masalah teknikal yang mungkin berlaku.
Kapal Luna-25 yang mempunyai berat 800 kilogram (kg) dijadualkan melakukan pendaratan di bahagian kutub selatan bulan, hari ini.
Usaha itu adalah sebahagian perlumbaan antara negara kuasa besar untuk meneroka bahagian bulan yang dianggap saintis menyimpan 'poket ais' dan elemen berharga.
Terdahulu, Roscosmos memaklumkan kapal angkasa Luna-25 berdepan situasi tidak normal ketika ia bersiap sedia untuk berpindah ke orbit prapendaratannya.
"Sepanjang operasi itu, situasi tidak normal berlaku di stesen automatik yang tidak membenarkan pergerakan dilakukan dengan parameter ditetapkan," jelas Roscosmos dalam kenyataan berasingan.
Bekas penyelidik dengan program angkasa lepas Rusia, Valery Yegorov berkata, nahas itu akan menjejaskan misi Roscosmos pada masa depan.
Beliau mencadangkan kegagalan siasatan itu dikaitkan dengan masalah elektronik mungkin disebabkan oleh sekatan Barat ke atas Moscow.
Pelancaran Luna-25 sebelum ini ditangguhkan beberapa kali dalam tempoh lima tahun yang lalu. Ia kerana sekatan yang dikenakan ke atas Rusia sebagai tindak balas merampas Crimea.
Luna-25 berjaya diletakkan di orbit bulan pada Rabu selepas dilancarkan dari tapak pelepasan Vostochny Cosmodrome di wilayah timur Rusia.
Tetapi pada Sabtu, Roscosmos berkata, "kecemasan" dikesan.
Luna-25 sebelum ini dijangka 'tinggal' di bulan selama setahun untuk mengumpul sampel tanah dan mencari sumber air.
Kamera yang dipasang pada lander sudah mengambil gambar permukaan bulan.
Disiarkan pada: Ogos 21, 2023 @ 11:04am
|