CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1260|Reply: 0

[Sabah] Empangan Papar: Nak bina atau tak nak bina?

[Copy link]
Post time 17-8-2023 09:52 PM | Show all posts |Read mode


JERNIH DAN BERSIH: Salah sebuah air terjun di kawasan konservasi Danum Valley, Lahad Datu. - Gambar hiasan.
KEINDAHAN  dan keunikan alam semula jadi, ciptaan Allah SWT, sangat kuat daya tarikannya. Sekiranya anda berada di tengah-tengah hutan belantara, anda mungkin dapat merasakan tenaga di sekeliling anda.  

Lebih menyeronokkan lagi ialah apabila menjumpai sebuah sungai semula jadi dengan airnya yang bersih jernih mengalir deras dan tenang, dan anda dapat pula melihat kelibat ikan-ikan yang berlegar-legar di dasarnya.

Lebih lama anda menatap dan memerhatikan keindahan sungai itu lebih banyak inspirasi akan berhimpun di dalam kotak minda anda.

Anda akan mengakui bahawa sungai semula jadi yang terbentang di hadapan anda itu adalah wajah dan rupa bentuk ekosistem alam semulajadi dalam sifat keasliannya.

Anda akan terus memerhatikan air sungai itu dengan penuh keterujaan dan pada ketika itu anda tidak was-was untuk menggunakan air sungai yang bersih jernih itu sepuas-puas dan semahu-mahunya, tanpa merasa risau bagaimana hendak membayarnya atau kehilangannya.  

Anda dapat merasakan suatu keterjaminan dan keyakinan bahawa alam semulajadi yang ekosistemnya tidak diusik dan tidak diganggu, sesungguhnya menyediakan perkidmatan yang sangat besar dan sangat penting, sesuatu yang amat diperlukan untuk survival manusia sejagat.

Namun, naratifnya berubah sebaik sahaja anda keluar dari hutan belantara itu dan pulang ke Kota Kinabalu.

Ceritanya bukan lagi berkisar tentang keindahan sebuah sungai yang bersih jernih airnya, tetapi tentang bagaimana mengawal diri supaya tidak menggunakan air paip terawat secara semborono kerana takut bil bulanan meningkat.

Maka muncullah watak yang lebih menakutkan, iaitu tentang gangguan bekalan air dan ia bukan sahaja mencemaskan diri anda seorang tetapi puluhan, ratusan ribu dan jutaan warga kota dan bandar raya.

Buat seketika anda cuba menghiburkan hati dengan mengingati sungai di hutan belantara yang airnya bersih jernih dan anda seolah-olah mengimpikan bahawa sungai itu benar-benar wujud dan mengalir di hadapan rumah anda.

Lupakan saja impian itu kerana realitinya ialah bahawa Sabah dan Kota Kinabalu khasnya menghadapi isu bekalan air yang merungsingkan.

Masalah itu bukan kerana negeri Sabah kekurangan sumber air tetapi soal membina sistem takungan air seperti empangan, yang kelak akan berfungsi sebagai pembekal air bersih.  

Daerah Kota Kinabalu sahaja mengalami kekurangan bekalan air paip terawat antara 29 hingga 30 peratus, sementara bagi negeri Sabah ialah 45 peratus.

Non Revenue Water (NRW) atau Air Tidak Terhasil adalah salah satu punca yang dikenal pasti menyebabkan kekurangan bekalan air terawat.

Menurut laporan, NRW Sabah pada tahun 2018 ialah 52.5 peratus, yang bermakna kerugian hasil air terawat adalah lebih tinggi daripada perolehan keuntungan.

Air Tidak Terhasil merujuk kepada bekalan air terawat yang tidak sampai kepada pengguna dan tidak dapat dibilkan disebabkan faktor seperti paip pecah, sambungan paip air secara haram atau meter dimanipulasi.

NRW boleh diatasi atau sekurang-kurang dapat dikurangkan dengan melaksanakan pengurusan bekalan air terawat yang lebih cekap dan efisien.

Namun, penambahbaikan pengurusan air untuk menangani isu NRW belum memadai untuk mewujudkan keterjaminan bekalan air di seluruh negeri Sabah untuk jangka waktu panjang.

Rancangan untuk membina empangan di Papar, yang sebelum ini dicadangkan di Kaiduan, Penampang, nampaknya masih menemui jalan buntu, mungkin juga disebabkan oleh bantahan sesetengah penduduk di tempat itu seperti yang digembar-gemburkan oleh  sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Saya percaya bahawa rata-rata penduduk yang menduduki kawasan yang hendak dijadikan empangan itu memahami keperluan untuk membina kemudahan itu, tetapi mereka mungkin memerlukan jaminan kukuh dari segi pampasan, termasuklah soal penempatan.

Dalam hubungan ini, NGO sepatutnya lebih proaktif dan bertindak sebagai pemudah cara bagi mewujudkan situasi menang-menang bagi semua pihak yang berkepentingan, supaya  pembinaan empangan dapat direalisasikan.   

Mewujudkan keterjaminan bekalan air di Sabah, sesungguhnya merupakan keperluan mendesak, hatta kepentingan awam, khususnya untuk generasi akan datang.

Dan saya percaya ini juga merupakan salah satu komitmen dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya, yang diperkenalkan oleh Kerajaan GRS di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Kekurangan bekalan air yang berterusan boleh mengundang masalah lebih besar, dan yang terkesan bukan sahaja rakyat tetapi juga ekonomi negeri Sabah.  

Para pelabur, sama ada dari dalam mahupun  luar negeri, tidak mungkin akan berminat untuk membuat pelaburan di Sabah tanpa kemudahan asas itu. Semua bidang industri dan perniagaan  memerlukan bekalan air.

Kita semakin kesuntukan masa sebenarnya. We’re running out of time. Rakyat sedang tertunggu-tunggu apakah langkah dan penyelesaian tuntas terhadap isu bekalan air di Sabah.

Ini bukan masanya untuk mencari hero-hero yang hanya berminat untuk menimbulkan sensasi dengan tujuan menghalang pembinaan empangan.

Yang kita sangat perlukan sekarang ialah hero-hero yang benar-benar mempunyai keazaman dan iltizam untuk menyelesaikan isu bekalan air di negeri Sabah, kerana niat dan usaha murni itu akan menguntungkan dan memanfaatkan seluruh rakyat dan negeri Sabah.

(Penulis adalah wartawan veteran Sabah)



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

8-5-2024 04:20 PM GMT+8 , Processed in 0.054298 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list