|
ROBERTO Firmino rai jaringan bersama rakan sepasukan Al-Ahli. FOTO FB Al-Ahli
Jeddah: Bekas bintang Liverpool, Roberto Firmino menggegar Liga Pro Saudi apabila dia meledak hatrik dalam aksi sulungnya bersama Al-Ahli untuk menumbangkan Al-Hazem dengan 3-1.
Kejayaan meledak hatrik itu nyata menggembirakan ribuan penyokong Al-Ahli yang turut teruja melihat beberapa bintang bola sepak dunia lain beraksi dalam aksi itu.
Firmino, 31, memulakan sentuhan berbisanya pada minit keenam sebelum menambah dua lagi gol di minit ke-10 dan 72, sekali gus permulaan yang cemerlang buatnya.
Manakala, gol saguhati Al-Hazem diraih menerusi Vinicius de Souza di minit ke-50.
Selain pemain Brazil itu, Al-Ahli turut membariskan empat bintang baharu iaitu penjaga gol Edouard Mendy, Riyad Mahrez, Allain Saint Maximin dan Frank Kessie.
Firmino meninggalkan Liverpool pada musim panas selepas lapan musim yang gemilang di Anfield, meledak 111 gol dalam 362 penampilan dan memenangi Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara Eropah serta Piala Dunia Kelab.
Al-Ahli antara pasukan pilihan liga berkenaan bersama-sama Al-Nassr, Al-Hilal dan juara bertahan, Al-Ittihad.
Sejak perpindahan Cristiano Ronaldo ke Al-Nassr, lebih ramai nama besar Eropah mula berpindah ke Timur Tengah termasuk Karim Benzema dan N'Golo Kante.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... g-di-liga-pro-saudi |
|