Terkilan dengan sikap negatif peminat terhadap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sehingga mengeruhkan konflik antara badan induk itu dengan Datuk Misbun Sidek, legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tegas mempertahankan BAM.
Tindakan pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu selepas mereka dihujani kritikan pelbagai pihak susulan pemecatan Datuk Misbun Sidek, Jumaat lalu.
IG
Chong Wei yang turut hadir dalam sidang akhbar BAM kelmarin menjelaskan, beliau tidak menyebelahi mana-mana pihak kerana BAM dan Misbun telah memainkan peranan besar sepanjang membentuknya menjadi antara pemain terulung dunia.
Kata Chong Wei, tidak semua perkara yang dilakukan BAM akan difahami peminat, namun percaya setiap keputusan dibuat adalah untuk kebaikan badminton negara.
“Isu ini memang membuatkan saya rasa sakit hati kerana badminton sentiasa dalam darah saya dan saya pernah 19 tahun dalam BAM. Tiada orang lain lebih lama daripada saya.
“Saya mengakui apa yang Tan Sri (Norza) cakap betul, ketika dia bawa Datuk Misbun (dalam BAM), kami tidak mempunyai banyak penaja dan Tan Sri sendiri terpaksa mengeluarkan perbelanjaannya.
“Dengan itu barulah masa depan saya ada. Saya boleh katakan yang keputusan Tan Sri adalah kebaikan badminton negara untuk menghasilkan bukan sahaja Lee Chong Wei kedua tetapi mungkin lima atau enam pemain lagi,” kata bekas pemain No. 1 dunia itu.
MISBUN individu penting yang menaikkan Lee Chong Wei.
Chong Wei antara individu penting yang memujuk Misbun untuk kembali ke pangkuan BAM selepas Norza memegang tampuk kerusi presiden pada 2017.
Difahamkan Norza bukan sahaja mengeluarkan duit poketnya sendiri untuk membayar separuh gaji Misbun, malah kerap mempertahankan pengendali berusia 63 tahun itu di hadapan Ahli Lembaga BAM apabila prestasi skuad negara di pentas antarabangsa tidak meraih keputusan memberangsangkan.
Sumber: Utusan |