Tindakan wanita mengelak anjing menyebabkan kematiannya apabila motosikal ditunggang dilanggar sebuah Perodua Myvi di Jalan Tun Fatimah, Melaka, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi itu, Nur Eliya Ezzatul Rabu, 24, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
NUR ELIYA maut di lokasi selepas cuba mengelak bangkai seekor anjing di Jalan Tun Fatimah, Melaka, hari ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kemalangan mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dalam perjalanan dari arah Bukit Rambai menuju ke tempat kerjanya di Batu Berendam.
“Setiba di lokasi motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan ketika cuba mengelak bangkai seekor anjing yang berada di tengah jalan.
“Mangsa yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang terjatuh lalu dilanggar sebuah Perodua Myvi dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan, di sini hari ini.
Ujarnya, akibat kemalangan itu mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
“Siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapati ketika nahas berlaku jalan berada dalam keadaan basah kerana hujan dan laluan adalah satu lorong dua arah.
“Pihak polis kini sedang berusaha mendapatkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada Myvi terlibat bagi membantu siasatan,”katanya.
Ujarnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes didakwa mengiku Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: KOSMO! ONLINE |